Kuala Lumpur, 31 Okt 2024, 9.00 malam – JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menyelamatkan empat wanita warganegara India dan seorang wanita warganegara Indonesia dalam satu sebuan yang dijalankan disebuah rumah di Klang Selangor. Mengikut maklumat yang diterima, amah-amah tersebut merupakan mangsa eksploitasi buruh paksa oleh sebuah ejen pembantu rumah yang tidak berdaftar dan berlesen.
Sindiket tersebut telah menjanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah yang sah di Malaysia. hasil siasatan mendapati ejen dan sindiket itu menjadi dalang aktiviti pemerdagangan manusia dengan menjadikan premis tersebut sebagai rumah transit sebelum mangsa dibekalkan kepada majikan.
Modus operandi ejen adalah dengan membawa masuk warga asing dari India, Sri Lanka dan Indonesia dan dijanjikan pekerjaan dengan kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh ejen supaya mangsa terikat dan perlu membayar semula kos perbelanjaan dan tambahan bayaran perkhidmatan lain melalui potongan gaji.
Ketika pemeriksaan, kesemua wanita warganegara India itu disembunyikan di dalam tandas bagi mengelakkan ditemui oleh anggota operasi. Mangsa dipercayai tinggal di rumah tersebut selama hampir tiga minggu sementara menunggu dibekalkan kepada majikan yang baharu.
Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang, National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0. JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Seorang ahli keluarga kepada ejen haram ini telah dipanggil untuk membantu siasatan manakala dalang utama iaitu seorang wanita tempatan yang telah dikenalpasti berada di luar negara pada masa ini akan ditahan sebaik tiba di Malaysia kelak dengan bantuan Imigresen KLIA.
JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di bawah ATIPSOM 2007 [Akta 670]. Sabit kesalahan individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.
JIM menasihatkan majikan supaya menggunakan saluran yang betul dan mengkaji latar belakang serta pengalaman agensi pekerjaan swasta tersebut sebelum mendapat khidmat agensi berkenaan. Kaedah terbaik menggajikan pekhidmat domestik asing adalah melalui khidmat agensi pekerjaan swasta yang berdaftar dan dilesenkan di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), KSM. Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak tertipu dengan penawaran yang dijanjikan termasuk boleh disabitkan bersubahat dalam melakukan kesalahan pemerdagangan orang.
JIM amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang untuk menyalurkan maklumat ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-88801471 atau e-mel: urusetia_p@imi.gov.my.
#Prezcom
Lebih Banyak Berita: