
Kuala Lumpur, 21 Jan 2025, 9.00 malam – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merancang pembangunan inisiatif dalam memartabatkan peranan wanita bagi memperkasa SPRM sebagai sebuah organisasi inklusif.
Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zin berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PUSPANITA SPRM Kali Ke-17 yang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
“Ketika Program Sambutan Hari Wanita Peringkat SPRM Tahun 2024, saya telah mencadangkan agar Anugerah Khas Srikandi SPRM diwujudkan bagi mengiktiraf khidmat bakti wanita di peringkat Suruhanjaya,” katanya.
Mesyuarat PUSPANITA kali ini diadakan bagi pemilihan ahli jawatankuasa bagi sesi 2025-2026.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM merangkap Penasihat PUSPANITA SPRM, Tan Sri Azam turut menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli PUSPANITA SPRM atas penglibatan dan pelaksanaan program serta aktiviti yang turut memberi manfaat kepada warga Suruhanjaya ini.
“Menjadi suri dan anggota perkhidmatan awam merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ahli PUSPANITA. Kecekalan dan kemampuan kaum wanita mengimbangi keperluan antara pekerjaan dan rumah tangga memang tidak dapat dinafikan,” katanya.
Beliau berkata, kaum wanita ini telah menjadi penyumbang tenaga serta idea sehingga menjadikan PUSPANITA SPRM terus kekal relevan dan berdaya saing.
Dalam majlis itu, Tan Sri Azam turut menyeru Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri, pegawai serta kakitangan SPRM agar mendaftarkan keahlian PUSPANITA isteri masing-masing secara dalam talian (online).
Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Pengerusi 1 PUSPANITA SPRM, Datin Sri Hajah Nurul Hidayah Seah Abdullah; Timbalan Pengerusi III PUSPANITA SPRM, Datin Saliza Mohamad Zillah, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.
#SPRMMalaysia
#Prezcom
Lebih Banyak Berita: