Kuala Lumpur, 8 Dec 2025, 9.00 malam – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan pegawai dalam menghadapi apa jua keadaan selari dengan hala tuju kerajaan terutamanya dalam aspek pendigitalan dan Kecerdasan Buatan (AI).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, pegawai SPRM juga perlu bertindak proaktif dalam menjalankan operasi supaya dapat menangani isu rasuah secara berkesan dan berimpak tinggi.
“Tindakan proaktif ini perlu disusuli dengan aktiviti pencegahan yang merangkumi pengurusan tatakelola dan penyebaran luas pendidikan antirasuah kepada kumpulan sasar yang tepat.
“Dalam hal ini, SPRM komited untuk meningkatkan keupayaan pendidikan, pengetahuan dan kemahiran para pegawai melalui latihan berkala dalam pelbagai bidang.
“Ini adalah bagi memenuhi tuntutan negara dan ekspektasi masyarakat terhadap SPRM,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Perhimpunan Bulanan Bil.1/2025 di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, struktur dan pendekatan dalam menjalankan tugas perlu diperkemaskan dengan melihat semula kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memperbaharui strategi agar dapat mengekalkan kecemerlangan serta prestasi sedia ada.
Dalam majlis itu juga, turut diadakan pelancaran Piagam Pelanggan SPRM yang baharu, Majlis Menandatangani Key Performance Indicator (KPI) SPRM 2025 melibatkan Timbalan-Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM, Pelancaran Sistem MACCKPI Versi 2 dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir Pegawai SPRM oleh KOSPERA kepada Unit Kebajikan SPRM.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Dato’ Azmi Kamaruzaman selaku menjalankan tugas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM serta Pengerusi KOSPERA, Dato’ Sri Shamsun Baharin Mohd Jamil.
#SPRMMalaysia
#Prezcom
Lebih Banyak Berita:
Hantaran Di Facebook Najib Razak Sebagai “Kesalahan Jenayah Kerana Menghina Mahkamah”