
Kuala Lumpur. 19 Dec 2024, 12.00 tengahari – MERUJUK kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh YBrs. Dr. Jack Wong Siew Yu, Pengarah Hospital Miri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tarikh 7 Disember 2024 berkaitan “JPA Wajibkan Semua Penjawat Awam Miliki BMI Sihat Mulai Tahun Depan”, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin memberikan penjelasan untuk memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada umum.
Pekeliling Perkhidmatan Awam (MyPPSM) Ceraian S.R 2.5.1 Perisytiharan Rekod Kesihatan Bagi Membudayakan Gaya Hidup Sihat Pegawai Awam yang diedarkan pada 6 September 2022, JPA menggalakkan semua pegawai awam untuk melaksanakan saringan kesihatan kendiri termasuk mengambil ukuran berat badan dan tinggi bagi melihat status Indeks Jisim Badan (BMI) dan disytiharkan dalam sistem HRMIS.
JPA tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau arahan untuk mewajibkan semua pegawai awam memiliki indeks jisim badan (BMI) yang seimbang.
Kami ingin menjelaskan bahawa sebarang kenyataan awam yang melibatkan JPA mestilah mendapat kebenaran rasmi daripada JPA.
Kenyataan ini dibuat untuk memastikan maklumat yang disampaikan kepada umum adalah tepat dan tidak menimbulkan salah faham.
JPA kekal komited untuk bekerjasama dengan KKM dalam usaha menangani isu obesiti di kalangan pegawai awam dan menyokong langkah-langkah dalam meningkatkan kesihatan awam secara keseluruhannya.
Pautan Pekeliling Perkhidmatan Awam (MyPPSM) Ceraian S.R 2.5.1 Perisytiharan Rekod Kesihatan Bagi Membudayakan Gaya Hidup Sihat Pegawai Awam: https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/SR/Kemudahan-Perubatan/73/
#MalaysiaMADANI
#berkhidmatuntuknegara
#taatsetia
#JPA
#Prezcom
Lebih Banyak Berita:
Hukuman Sebat Secara Terbuka Bagi Kes Khalwat Berulang Di Terengganu.