
Kuala Lumpur, 13 Dec 2024, 12.00 tengahari – KISAH orang yang membuat pinjaman MARA tetapi tidak mahu membayar atau tidak mampu membayar balik pinjaman bukanlah cerita baharu di dalam Institusi pinjaman tersebut. Dari dahulu lagi perkara ini sudah berlarutan disebabkan rasa kasihan belas dan masih mahu memberi peluang untuk para peminjam mencari jalan penyelesaian bagi masalah kewangan mereka dan mahu mereka meneruskan perniagaan telah menyebabkan MARA sendiri menghadapi masalah untuk mendapat balik pulangan bagi membiayai orang lain yang memerlukan bantuan di dalam perniagaan. Kali ini MARA telah bertekad untuk tidak akan lepas peminjam yang tidak mahu membayar hutang.
MARA kini di dalam proses untuk mencari dan mendakwa mengikut lunas undang-undang yang sedia ada bagi mengesan mereka yang didapati culas membayar balik pinjaman atau sengaja tidak mahu membayar balik dengan memberi berbagai-bagai alasan. Ada diantara peminjam yang hidup senang dengan memperagakan kemewahan kemudian dengan sengaja menayangkan kehidupan mewah mereka dan keluarga di media sosial untuk tatapan warga net mungkin bertujuan untuk meraih pujian. Bukan itu sahaja, ada di antara peminjam yang membuat kertas kerja untuk membuat pinjaman perniagaan tetapi selepas memperolehi wang tersebut, ia digunakan untuk melancong ke tempat-tempat mewah yang mereka impikan.
Terdapat juga peminjam yang tidak berkemampuan untuk membayar balik pinjaman mungkin disebabkan perniagaan tidak berjalan dengan baik atau berdepan dengan masalah lain yang tidak dapat dielakkan. Namun, MARA sentiasa memberi peluang untuk mereka supaya datang ke pejabat MARA untuk mengadakan perbincangan bagi menstrukturkan semula pembayaran balik mengikut kemampuan peminjam. Bukan itu sahaja usaha yang ditunjukkan oleh MARA untuk membantu para peminjam walaupun hutang lama masih belum dijelaskan malah, khidmat nasihat juga diberi bagi memberi semangat kepada mereka untuk terus berniaga agar tidak berputus asa.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menegaskan, tindakan perundangan adalah jalan terakhir untuk memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula. Dr Asyraf juga memuat naik sepotong hadis yang bermaksud dosa hutang tidak dimaafkan walaupun selepas mati syahid. Asyraf berkata, seseorang itu tidak sepatutnya berhutang jika tidak mampu membayar semula.
Media melaporkan seorang pelakon popular dan anaknya telah dikenakan tindakan undang-undang dan MARA telah fail kebangkrapan terhadap pelakon tersebut dan anak lelakinya kerana tidak membayar pinjaman yang dibuat tetapi memperagakan kemewahan hidup sekeluarga di media sosial untuk tatapan umum. Jadikan kisah mereka sebagai pengajaran supaya para peminjam yang lain tidak melakukan perkara yang sama kerana perkara tersebut boleh mencemarkan reputasi diri sendiri.
#Prezcom
Lebih Banyak Berita: