SPRM Mendapat Perintah Larangan Dari Mahkamah Untuk Menyekat Pihak Yang Ingin Berurusan Dengan Harta 1MDB.
Perintah berkenaan turut menghalang Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid daripada berurusan dengan dana tersebut di luar negara.

Kuala Lumpur, 12 Dec 2024, 9.00 malam – SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan bahawa pihaknya mendapat Perintah Larangan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi melarang pihak-pihak tertentu dari sebarang cubaan untuk membuat urusan yang melibatkan harta-harta atau dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$340 juta yang kini berada di luar negara dan tersimpan di dalam UK Court Fund Office , United Kingdom.

Selepas berpuas hati dengan bukti dikemukakan pihak pendakwaan,  Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh telah memutuskan  Perintah Larangan tersebut oleh kerana beliau telah berpuas hati dengan hujah oleh pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan bahawa dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Dengan Perintah Larangan yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh ini,  ia akan menjadi penghalang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid daripada berurusan dengan dana berkenaan di luar negara.

Perintah Larangan ini dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA 2001) berdasarkan permohonan yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 2020.

Selain itu, SPRM juga berjaya mendapatkan Perintah Larangan ke atas 41 barangan kemas di Hong Kong bernilai 9,417,842.60 paun Sterling milik Tarek Obaid. Perintah tersebut telah di keluarkan pada 13 Mac 2024.

Pada 30 Oktober 2024, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diperintahkan oleh Datuk Collin Lawrence Sequerah untuk membela diri di atas semua pertuduhan yang dihadapi setelah pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

#Prezcom

Lebih Banyak Berita: