Kuala Lumpur, 1 Dec 2024, 9.00 malam – INISIATIF mengutip sampah dan dikitar semula untuk dijadikan perabot merupakan satu usaha bagi memperkasakan kelestarian alam sekitar melalui model perniagaan mampan. Cetusan inovasi baharu ini telah diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang pada 1 December 2024.
Di dalam program yang melibatkan 200 sukarelawan ini, sebanyak 298 kilogram sampah telah berjaya dikumpulkan dalam siri kelima penganjuran program Santuni MADANI KPT@KSB.
Aktiviti “Kutip Sampah Sambil Riadah” (KUDAH) menjadi agenda utama dengan penyertaan sukarelawan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Universiti Islam Malaysia (UNIMEL), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kolej Komuniti Masjid Tanah, Politeknik Melaka, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan masyarakat setempat.
Menurut YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, bahan buangan seperti plastik yang dikumpul akan diproses di UTeM untuk dijadikan perabot seperti kerusi dan meja.
“Perabot ini akan diagihkan ke kawasan awam, homestay dan lokasi pelancongan sekitar Kuala Sungai Baru. Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat dengan menyediakan kemudahan yang praktikal dan berpatutan,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini adalah sebahagian daripada model perniagaan lestari yang boleh terus berkembang untuk menjana pendapatan bagi menampung aktiviti masyarakat.
Turut hadir dalam program ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi merangkap Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, YB Datuk Rosli Abdullah, yang menyokong penuh penganjuran program ini sebagai usaha murni memupuk kesedaran dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Selain aktiviti pengumpulan sampah, program ini turut dimeriahkan dengan pameran oleh institusi pendidikan tinggi.
UTeM mempamerkan inovasi jubin mesra alam yang dihasilkan daripada bahan kitar semula, UNIMEL dan UiTM memberi penerangan tentang program akademiknya, manakala PTPTN menyediakan khidmat konsultasi pembiayaan pendidikan.
Kolej Komuniti Masjid Tanah pula mengambil inisiatif dengan projek mini pengindahan lanskap pantai untuk memberikan wajah baharu kepada kawasan tersebut.
Program Santuni MADANI KPT@KSB ini sekali lagi membuktikan bahawa penglibatan masyarakat, kerajaan, dan institusi pendidikan tinggi dapat membawa perubahan bermakna, bukan sahaja dari segi kebersihan alam sekitar tetapi juga memperkukuh kesedaran terhadap pentingnya kitar semula dan inovasi lestari.
Sehingga siri kelima ini, program Santuni MADANI KPT@KSB telah berjaya mengumpul lebih daripada 1.2 tan sampah, membuktikan keberkesanannya dalam menyokong agenda kelestarian negara.
Zambry Abd. Kadir
Mustapha Sakmud
Dr. Zaini Ujang
#MalaysiaMADANI
#Prezcom
Lebih Banyak Berita:
Cuba Berfikir Di luar Kota Pemikiran Jika Mahu Berjaya Tanpa Berharap Kepada Ijazah.