Festival Idea Putrajaya Landasan Percambahan Pemikiran Madani - Perdana Menteri.
Idea yang baik mestilah berakar kepada nilai-nilai murni, budaya luhur dan kemanusiaan sejagat.

Kuala Lumpur, 28 Nov 2028 – PERDANA Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan percambahan idea dan nilai kemanusiaan dalam membangunkan Malaysia Baharu berasaskan prinsip Madani.

Dalam ucapannya sempena menyempurnakan Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang tadi, beliau menggariskan idea sebagai asas utama pembaharuan masyarakat dan negara.

Menurutnya, idea yang baik mestilah berakar kepada nilai-nilai murni, budaya luhur dan kemanusiaan sejagat.

“Idea tanpa tindakan ibarat pohon yang tidak berbuah, dan idea tanpa nilai hanya akan membawa kepada kerosakan,” tegas beliau sambil menyeru kepada pencerahan minda, terutama dalam kalangan generasi muda.

Festival Idea Putrajaya yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini bertindak sebagai platform percambahan pemikiran, turut menekankan nilai-nilai kritikal seperti keadilan, kemanusiaan dan moral.

YAB Dato’ Seri Anwar turut mengkritik elemen-elemen negatif seperti rasisme, korupsi dan ekstremisme yang menurutnya merosakkan asas pembangunan negara.

“Cukup dengan korupsi, cukup dengan rasisme. Kita harus bergerak sebagai sebuah negara besar dengan prinsip dan nilai,” tegasnya.

Beliau turut menekankan pentingnya Malaysia mengekalkan keunikan sebagai negara berbilang kaum dan agama, sambil mengekalkan keamanan dan perpaduan yang menjadi teladan kepada dunia, sambil menyatakan keyakinan terhadap masa depan negara dan peranan ASEAN sebagai rantau yang pesat membangun.

Festival ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan besar, dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dari kalangan mahasiswa, intelektual hingga kepada pemimpin politik dan korporat.

Selain itu, YAB Perdana Menteri turut menyeru generasi muda untuk bersikap kritis dan tidak terjebak dengan sentimen sempit seperti perkauman dan ekstremisme.

“Malaysia hanya akan menjadi negara yang hebat jika kita mempunyai keberanian untuk membangun dengan ilmu dan nilai kemanusiaan,” ujar Perdana Menteri mengakhiri ucapan dengan harapan agar Festival Idea Putrajaya ini diteruskan setiap tahun sebagai tradisi intelektual negara.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta pelbagai tokoh akademik dan pemimpin korporat, menjadikan acara ini sebagai satu simbolik kepada permulaan era pembaharuan idea dan intelektual di Malaysia.

Zambry Abd. Kadir
Mustapha Sakmud
Dr. Zaini Ujang

#FestivalIdeaPutrajaya2024
#PutrajayaFestivalOfIdeas
#PutrajayaFOI
#IdeaKPT
#MalaysiaMADANI

#Prezcom

Lebih Banyak Berita:

Mesej Antirasuah Oleh SPRM Merupakan Amaran Mereka Tidak Akan Berkompromi.