Apa Akan Berlaku Kepada Lima Pegawai Kadet Yang Diberhentikan Dari Perkhidmatan ?

Kuala Lumpur, 27 Nov 2024, 11.00 – APA akan berlaku kepada lima Pegawai Kadet Akedemi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang didapati bersalah dalam kes buli dan mencederakan fizikal serta emosi terhadap Pegawai Kadet lain???

Dalam satu Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang di adakan semalam, Majlis tersebut telah mencadangkan supaya kelima-lima PK tersebut dibatalkan perlantikan mereka sebagai Pegawai Kadet dan menjalankan proses pemberhentian perkhidmatan dari ATM.

Dari peringkat ini, bahangnya tentu sudah dirasai oleh mereka kerana bukan sahaja pembuangan dari perkhidmatan malah terpaksa membayar keseluruhan perbelanjaan yang telah diguna sepanjang tempoh pengajian.

Bukan setakat itu sahaja hukuman yang terpaksa dihadapi, andainya terdapat hukuman lain yang menanti iaitu kemungkinan tindakan akan diambil oleh UPNM atau Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara ini selari dengan undang-undang dan arahan dari Kementerian Pertahanan (Mindef) yang membuat keputusan tegas untuk memastikan sebarang perlakuan yang melanggar etika dan peraturan akan diambil tindakan yang keras.

Pegawai Kadet yang terlibat dalam kes pembulian dan mendatangkan kecederaan serius dan membuat penderaan emosi terhadap Pegawai Kadet lain adalah:

Kes pertama membabitkan pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021), Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan yang ditamatkan perkhidmatan dan perlu membayar ganti rugi RM44,600.

Kes ini dikesan oleh seorang jurulatih bertugas di ALK semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober susulan itu satu siasatan dijalankan dan pelaku sudah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Dalam kes kedua melibatkan tiga pelaku iaitu Izzat Izuddin Mohammad Arif (pelaku 1), Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (pelaku 2), dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pelaku 3).

“Ketiga-tiga pelaku melakukan antaranya salah laku secara fizikal, serta mengarahkan mangsa untuk melakukan kerja-kerja peribadi dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa.

Ketiga-tiga pelaku dalam kes kedua ditamatkan perkhidmatan dan masing-masing diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM48,452; RM19,481 dan RM44,600.

Kes ketiga membabitkan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Ammar Hafiy Muhammad Habib yang didapati mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa.

Tindakan salah laku Ammar Hafiy mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada tisu lembut di bahagian bawah belakang tubuh.

“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia berjumlah RM32,115.95.

Apa yang akan dihadapi oleh Pegawai-pegawai Kadet ini, hanya satu kerugian pada diri mereka sendiri dan keluarga. Masa hadapan sudah pasti tidak menentu kerana mungkin tidak ada lagi pusat pengajian tinggi yang akan menerima mereka seperti mana sekarang yang dibiayai oleh kerajaan Malaysia.

Seandainya Kesemua mereka yang terlibat ini datang keluarga yang berada atau senang, mungkin tidak akan menghadapi banyak masalah untuk membuat pembayaran balik. Bagaimana dengan mereka yang datang dari keluarga yang susah atau miskin? Sedih dengan beban kewangan ditambah lagi dengan beban malu di atas perlakuan anak yang keterlaluan.

#Prezcom

Lebih Banyak Berita:

Putrajaya Dalam Perancangan Untuk Dijadikan “City Of Ideas – Zambry.