
Kuala Lumpur, 08 Okt 2024, 11.00 malam – KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN SOKONGAN KEPADA KENYATAAN YAB PERDANA MENTERI DALAM WAWANCARA BERSAMA WARTAWAN MEHDI HASAN
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketika wawancara bersama wartawan Mehdi Hasan yang disiarkan di portal rasmi Bernama pada 7 Oktober 2024.
Apabila disentuh oleh Mehdi Hasan tentang undang-undang hudud di Malaysia, YAB Perdana Menteri telah memberi maklum balas bahawa ia memerlukan konsensus. Untuk memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran, perkara paling penting adalah memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam kemajmukan masyarakat.
YAB Perdana Menteri menegaskan, buat masa ini keamanan dan keselamatan masyarakat perlu diutamakan. Dalam isu tersebut adalah tepat dan berasas dengan mengambil kira Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) serta Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan).
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil langkah untuk memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah secara komprehensif meliputi aspek penggubalan, penyemakan dan pindaan undang-undang syariah dan penstrukturan Mahkamah Syariah.
Penyediaan latihan komprehensif bagi meningkatkan kompetensi Hakim dan pegawai di Mahkamah Syariah akan dilakukan. Pada masa yang sama, hal ehwal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah serta guaman syarie perlu turut diperkukuh terlebih dahulu untuk memperkasa sistem kehakiman syariah.yang sedia ada.
Sebagai salah satu fokus dalam Pelan Transformasi Al-Falah Tahun 2023-2027, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa memberi sokongan terhadap agenda pengukuhan institusi perundangan dan kehakiman syariah seperti mana yang dikehendaki didalam Kerajaan Madani.
6. Kesemua usaha yang diambil ini sebelum dilaksanakan akan melalui proses sewajarnya termasuk merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
8 Oktober 2024.
#Prezcom
Lebih Banyak Berita: