Kenapa Semakin Ramai Ustaz Dan Ustazah, Semakin Bercelaru Pemikiran Ummah?
Terdapat juga tokoh-tokoh agama yang berkecimpung didalam dunia politik dan ekonomi yang menjadikannya Agama sebagai landasan untuk mencipta nama dan kedudukan.

Kuala Lumpur, 02 Okt 2024, 6.00 petang – ZAMAN sekarang adalah zaman yang dikatakan landasan kepada individu-individu yang ingin mencipta nama dan kedudukan. Ramai dikalangan individu yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk menjadi artis, penghibur, ahli sukan, ahli perniagaan, tokoh korporat dan ahli politik yang berjaya.

Tidak ketinggalan juga tokoh-tokoh agama seperti ustaz dan ustazah yang begitu menjulang tinggi nama mereka apabila berpeluang memaparkan diri dilayar perak dan di media cetak serta  media sosial sama ada mereka ini ditawarkan oleh pihak tertentu atau menawarkan diri untuk lebih dikenali.

Ramai dikalangan individu yang berlatar belakangkan pendidikan agama seperti segelintir ustaz dan ustazah telah berada jauh dari landasan asal mereka iaitu untuk mendidik generasi kita supaya lebih peka dan tidak lari dari ajaran agama agar kehidupan dihari ini dan akan datang sentiasa berada dijalan yang betul dan selamat.

Ramai dikalangan ustaz dan ustazah ini pada mula hanya berceramah diatas pentas yang hanya berbicara tentang agama. Tetapi apabila telah mula dikenali, mereka sudah menyimpan keinginan untuk mencari bidang lain sebagai platform untuk lebih dikenali dan ada yang mencipta kekayaan melalui nama mereka yang sudah terkenal dan meletop dipasaran.

Walaupun bukan menjadi satu kesalahan yang besar untuk memulakan perniagaan atau menjadi ustaz dan ustazah selebriti, tetapi harus diingat, apakah peranan dan siapakah anda sebelum itu ? Selepas menjadi usahawan atau selebriti, ceramah juga sudah mula kearah keduniaan, Disebabkan mereka ini sudah ramai pengikut, apa sahaja yang disebut oleh ustaz atau ustazah ini akan sentiasa diikuti dan dianggap sebagai nasihat.

Walaupun ada kesilapan dalam  ceramah atau sudah lari dari maksud sebenar, pengikut mereka akan tetap mengikuti kerana rasa sayang dan hormat dan ini telah menyebabkan kecelaruan kepada minda pengikut-pengikut.

Adakala ceramah yang diperdengarkan sudah tidak lagi relevan dengan keagamaan dan tidak lagi menekan ke jalan yang diredhai oleh Allah dan jalan untuk mencari syurga. Walau masih memberi ceramah agama tetapi waktu amat terhad kerana bidang perniagaan yang diceburi lebih memerlukan perhatian.

Ada yang membuka restoran dan ada juga yang mencipta produk sendiri untuk dipasarkan didalam dan diluar negara. Itu merupakan rezeki dari Allah untuk mereka tetapi sayangnya pendirian golongan ini sudah menyimpang dari maksud asal.

Begitu juga terdapat pendatang baru dari latar belakang pendidikan agama dan menjadi terkenal dengan begitu cepat melalui program di televisyen dan platform pelbagai media. Dikhalayak ramai sama ada di pentas ceramah atau di media sosial mereka sentiasa bercakap mengenai keagamaan dan memberi nasihat untuk kebaikan didalam kehidupan. Tetapi disebalik tabir peribadi rupa-rupanya sikap mereka amatlah menjijikan. Melakukan perkara mungkar termasuk kemaksiatan.

Ada yang terlibat dengan berbagai gejala buruk yang memusnahkan kehidupan orang lain dan memusnahkan kehidupan dan reputasi sendiri. Bukan itu sahaja, malah ada diantara mereka yang berdepan hukuman penjara sehingga berpuluh tahun. Ini juga salah satu perkara yang membuatkan pengikut atau peminat mereka menghadapi kecelaruan minda kerana telah pun menjadikan kata-kata dan nasihat golongan agamawan ini  sebagai pedoman didalam kehidupan seharian.

Selagi bernama manusia, selagi itulah kita atau sesiapa sahaja akan membuat kesilapan. Andaikata terlajak perbuatan yang tidak merosakkan diri dan kehidupan orang lain, kembalilah kepangkal jalan dan mulakan semula dengan azam dan tekad baru. Jadikan agama sebagai panduan kehidupan agar tidak lagi tersesat didalam keghairahan dan kemordenan duniawi.

Golongan yang berlatar belakang pendidikan agama bukanlah orang yang sempurna. Mereka juga seperti kita yang perlu mendalami erti kehidupan dan akan melakukan kesilapan. Walau apa pun, jangan dihina diri mereka diatas kesilapan yang pernah dilakukan kerana itu adalah ujian yang telah pun ditetapkan didalam takdir kehidupan mereka.

#Prezcom

Lebih Banyak Berita:

Apa Erti Perjuangan Sekarang ? – Tun Dr Mahathir Mohamad.