
Kuala Lumpur, 29 Sept 2024, 5,00 petang – KETUA Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr Saravanan Thambirajah berkata, duit subsidi rakyat berjumlah berbilion ringgit dirompak. Perkara ini boleh dibayangkan melalui kegiatan penyeludupan minyak masak paket 1 kilogram, yang kini masih berterusan seperti tiada nokhtah,
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyifatkan, penyeludupan minyak masak paket bersubsidi ini bukan sahaja merugikan negara, malah mengganggu kestabilan ekonomi dan paling ketara adalah menjejaskan bekalan domestik tempatan.
Menurut Dr Saravanan, sekiranya perkara ini berterusan, ia boleh menimbulkan ketidakseimbangan dalam pasaran domestik dan lebih lagi akan membuatkan rakyat rasa tidak berpuas hati serta berkemungkinan akan menyalahkan kerajaan kerana tidak dapat membendung kegiatan penyeludupan.
Situasi seperti ini dilihat akan memberi tekanan yang besar dalam mengekalkan kos hidup yang berpatutan malah ia juga akan menambah bebanan kepada pengguna di Malaysia. Subsidi minyak masak sepatutnya menjadi hak rakyat. Bukan menjadi hak penyeleweng dengan mengaut keuntungan bagi sindiket mereka.
Dr Saravanan menambah lagi, kegiatan penyeludupan dan penyelewengan ini patut ditangani segera oleh pihak berkuasa kerana kini ia merupakan salah satu masalah besar yang melanda negara kita. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini perlu dibawa kemuka pengadilan untuk dihukum.
Ketirisan berlaku di peringkat permulaan iaitu di peringkat pengeluaran dari kilang pembuatan sehingga peringkat pengedaran. Ini bermakna kawalan dari kilang perlu diperketatkan dengan mempergiatkan pemantauan pengeluar dan pemeriksaan pihak pengedar, terutamanya di negeri yang bersempadan dengan negara jiran.
Kerjasama antara agensi penguatkuasa kedua-dua negara perlu dipertingkatkan. Penggunaan teknologi seperti sistem pengesanan yang lebih canggih perlu diadakan bagi memantau pergerakan penyeludup membawa keluar bekalan minyak masak negara kita.
Pihak berkuasa negara jiran khususnya Thailand amat diperlukan bagi memastikan kegiatan penyeludupan ini dapat dibenteras sehabisnya. Dr Saravanan juga menggesa kerajaan untuk menjalankan audit berkala terhadap aliran subsidi minyak masak bagi mengenalpasti kewujudan pihak ‘pengkhianat’ ini.
Selain itu beliau berkata, rakyat Malaysia juga perlu peka terhadap isu ini dan memberi kerjasama untuk melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Kredit – Metro
#Prezcom
Lebih Banyak Berita:
Onn Hafiz Mengucapkan Terima Kasih Kepada Pengundi Dun Mahkota.