Kuala Lumpur, 16 Sept 2024, 2.00 petang – HARI Malaysia yang diraikan setiap tahun tanggal 16 September merupakan lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia. Walau di mana kita berada, ucapan Selamat Hari Malaysia adalah tanda ingatan buat negara yang kita cinta. Adakah segalanya itu telah kita capai dan raih dengan sebaiknya? Hari Malaysia yang diraikan ini membawa erti sebenar bahawa negara benar-benar berada didalam kemerdekaan yang tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak lain samada yang datang menumpang dan yang menyeludup masuk dan menjadi kaya raya dengan hasil bumi kita yang diwarisi oleh nenek moyang kita dahulu? Bermaknakah Hari Malaysia Jika Hidup Bagai Dijajah Ditanah Air Sendiri?
Memang benar, penjajah telah keluar dari tanah air kita ini. Perjuangan para pejuang negara telah terealisasi dan bendera ‘kebebasan’ telah megah berkibar. Namun dalam ruang-ruang kemerdekaan yang kita pertahankan, masih terdapat tangan-tangan jahat mencetuskan suasana tidak harmoni, dengan mengganggu-gugat perpaduan yang telah dipupuk oleh generasi terdahulu.
Barangkali ada yang tidak menyedarinya. Pelbagai kontroversi dan persepsi dihamburkan agar keadaan yang sejahtera, aman dan damai itu diragut. Api perkauman dan ketidakpuasan antara kaum sering terjadi. Pihak-pihak tertentu mencetuskan keadaan tersebut bagi memenangkan pihaknya, tidak terkecuali melalui parti politik.
Hal itu seperti tidak ada kesudahannya. Masing-masing seakan mempertahankan apa yang diideologikan, walaupun adakalanya seakan ingin menyimbah, membakar status perkauman dan bangsa. Keadaan ‘traffic’ di media sosial berhubung sesuatu isu sering disalahertikan, yang mana selalu menyentuh kaum, bangsa dan agama seseorang itu apabila berlakunya perkara yang tidak selari lagi tidak diingini atau bertentangan dengan sesuatu yang terjadi.
Justeru, marilah kita jadikan kemerdekaan bukan sekadar ritual tahunan, tetapi komitmen harian untuk menyuburkan keharmonian. Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja menghormati pengorbanan generasi terdahulu, tetapi juga membina asas yang kukuh untuk generasi akan datang. Inilah cara terbaik untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan. Jadikan Malaysia negara contoh kepada dunia tentang kekuatan dalam kepelbagaian.
Ingatlah, kemerdekaan bukan destinasi tetapi suatu perjalanan yang berterusan. Setiap generasi perlu mentafsir semula erti kemerdekaan dalam konteks zaman mereka, sambil mengekalkan nilai-nilai asas yang telah membentuk negara ini. Dengan berpegang teguh pada prinsip perpaduan dalam kepelbagaian, Malaysia boleh terus maju ke hadapan sebagai negara yang berdaulat, makmur dan harmoni.
Marilah kita sama-sama memikul tanggungjawab ini dengan penuh kesedaran dan iltizam. Setiap rakyat Malaysia adalah penentu kepada kejayaan visi perpaduan negara. Hanya melalui usaha bersama dan semangat muafakat, rakyat dapat membina Malaysia yang lebih kukuh, lebih adil dan lebih makmur untuk semua. Inilah warisan terbaik yang dapat ditinggalkan untuk generasi akan datang iaitu sebuah Malaysia yang benar-benar mencerminkan kekuatan dalam kepelbagaian.
#Prezcom
Lebih Banyak Berita: