Kuala Lumpur, 10 Sept 2024, 10.00 malam – SETIAUSAHA Politik Perdana Menteri, Azman Abidin berpendapat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak perlu mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol kerana permohonan sijil halal adalah proses yang rumit dan yuran yang agak tinggi serta syarat yang sangat ketat.
Walau bagaimanapun, beliau mengalu-alukan cadangan Menteri Agama Mohd Na’im Mokhtar, namun, Jakim perlu mengkaji dengan lebih dalam sebelum mempertimbangkannya dan ianya tidak perlu wajib.
Menurut Azman, perkara ini menjadi penyebab restoran dan syarikat berkaitan makanan tidak berminat untuk memohon sijil halal ini termasuk milik orang Melayu walaupun mereka sememangnya menjual makanan halal.
Isu pensijilan halal ini mendapat bantahan dari Ahli Parlimen Seputeh iaitu Teresa Kok yang menegaskan bahawa seharusnya ia bersifat sukarela. Ditambah pula ia berisiko tambah beban kepada peniaga termasuk ribuan pengusaha restoran Melayu.
Apa yang berlaku kini adalah bantahan yang dibuat oleh Teresa mendapat kecaman dari berbagai pihak. Antara yang mengkritik bantahan beliau adalah Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil.
Penjelasan dari Teresa selepas itu adalah, pensijilan halal itu perlu dikaji tetapi tidak bermakna beliau tidak menghormati Islam atau mempertikaikan tentang keperluan pensijilan halal berkenaan.
Menurut Azman lagi, beliau pernah mengusahakan sebuah restoran dan amat memahami tentang pensijilan ini. Menurut beliau,”Kita perlu faham, sijil halal dengan makanan halal dua perkara berbeza. Sebagai contoh, hampir 100 peratus restoran Melayu di negara ini menyajikan makanan halal tapi lebih 90 peratus tidak memiliki sijil halal”. Jelasnya.
Azman meminta supaya pembangkang dan ahli politik perlu menghentikan perkara ini yang dianggap sebagai mempolitikkan isu pensijilan ini dan seterusnya mengaitkannya dengan isu agama dan bangsa. Pada pendapat Azman, Menteri Agama hanya mencadangkan dan Ahli Parlimen Seputeh itu hanya memberi pandangan.
Kenyataan yang dibuat oleh Teresa berkenaan pensijilan halal ini telah mendapat teguran dari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata, kenyataan yang dibuat oleh Teresa itu tidak mewakili Pakatan Harapan (PH).
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan. Sentimen muslim dan bukan muslim perlu dijaga. Apa yang perlu adalah rundingan. Bukan bertindak untuk menunjukkan kehebatan masing-masing.
Kredit – MalaysiaKini
#Prezcom
Lebih Banyak Berita:
Guru Menegur Perkara Betul Didalam Sistem Pendidikan Perlu Diberi Peluang Kedua.