Rayuan Mahkamah Zahid Akan Didengar Pada 12 Disember Nanti.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah menjadualkan semula pendengaran rayuan pendakwaan terhadap beliau kepada 12 Disember nanti.

Kuala Lumpur, 01 Sept 2024, 12.00 tengahari – MEMANDANGKAN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri di luar negara, maka Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah menjadualkan semula pendengaran rayuan pendakwaan terhadap beliau kepada 12 Disember nanti. Rayuan Pendakwaan Pembebasan tersebut adalah daripada 40 pertuduhan yang dihadapinya.

Tarikh itu ditetapkan semasa sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli hari ini melalui aplikasi zoom. Muhammad Noor juga menetapkan 28 November sebagai pengurusan kes terakhir bagi rayuan itu.

Peguam utama yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, juga turut mengesahkan penangguhan kes rayuan terakhir tersebut. Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 9 September ini untuk mendengar rayuan pendakwaan berkenaan.

Hisyam berkata, Ahmad Zahid akan menghadiri Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Global 2024 yang dijadualkan berlangsung di Lianyungang City, China dari 8 hingga 10 September 2024. Diatas sebab-sebab berkenaan, maka pihak pembelaan telah memohon penangguhan bagi pendengaran rayuan itu.

Pada 18 Mac lalu, peguam Ahmad Zahid memohon penangguhan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara mempertimbang representasi yang dikemukakan oleh beliau. Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar rayuan itu tetapi tidak dapat diteruskan dan Mahkamah seterusnya menetapkan 9 September ini untuk mendengar rayuan itu namun masih lagi tidak dapat diperdengarkan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam telah melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan tanpa mengarahkannya membela diri Pada 23 September 2022. Pada masa itu Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.
Pihak pendakwaan kemudiannya telah memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Ahmad Zahid dikenakan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB). Beliau telah didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. Beliau dituduh menerima rasuah untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China.

Ahmad Zahid turut berdepan 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN antara tahun 2014 dan 2017.

Ahmad Zahid juga didakwa memperoleh wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan US$15,000 untuk diri sendiri dari syarikat yang sama. Mengikut pertuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017. Walau bagaimana pun, Presiden Umno itu mengaku tidak bersalah diatas pertuduhan yang dikenakan kepadanya.

Turut hadir pada sesi pengurusan kes itu ialah Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong bagi pihak pendakwaan manakala mewakili Ahmad Zahid ialah peguam Hamidi Mohd Noh dan Aiman Abdul Rahman.

Kredit – Bernama

#Prezcom

Lebih Banyak Berita:

Polis Cari Seorang Ahli Bersekutu Guna Gelaran Datuk Palsu Dari Pahang.