
Kuala Lumpur, 19 Ogos 2024, 9.00 malam – PEMBELI rumah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Taman Ekar Rantau, Rembau, merasa begitu kesal kerana rumah yang mereka tandatangan untuk dibeli dari tahun 2017 masih lagi tidak siap untuk di diami. Projek perumahan yang sepatutnya siap pada 2019 masih lagi terbengkalai.
Lebih malang lagi, para pembeli yang menandatangani surat jual beli pada tahun 2017 itu mengalami berbagai masalah dengan dibebani potongan bayaran bulanan rumah PRIMA dan pada masa yang sama perlu membayar sewa rumah yang diduduki sekarang.
Wakil pembeli, Mohamad Hanif Abdul Latif, 40, dari Rembau berkata, terdapat pembeli telah pun meninggal dunia dan ada yang terpaksa menumpang rumah saudara mara kerana tidak mampu untuk menyewa rumah lain.
Mohamad Hanif berkata, mereka tidak sanggup lagi menunggu begitu lama iaitu lebih kurang tujuh tahun dari tarikh perjanjian dibuat. Sebelum ini pihak Perumahan PRIMA telah menjanjikan bahawa projek itu akan siap pada tahun 2020. Namun ia tidak seperti yang dijanjikan malah ianya berlanjutan hingga Mac tahun 2023. Tetapi sehingga kini projek tersebut masih belum siap.
Mohamad Hanif yang berkhidmat di Majlis Daerah Jelebu (MDJ), berkata pembeli hilang sabar dengan projek itu kerana masalah kewangan. Terdapat pembeli dari Kuala Lumpur yang kini menyewa rumah dengan bayaran sebanyak RM1000 sebulan.
Difahamkan kebanyakkan pembeli rumah PRIMA ini adalah dari kalangan B40. Sudah tentu ianya membebankan kerana terpaksa membayar 2 biji rumah sekali gus.
Projek PR1MA Bandar Ekar, Rantau yang dimulakan pada 2017 dan sepatutnya disiapkan April 2019, membabitkan pembinaan 776 unit rumah iaitu 210 rumah satu setengah tingkat dan 566 unit dua tingkat.
Kredit – Berita Harian
#Prezcom
Lebih Banyak Berita :