DEEP
Mohd Zuki berkata semua penjawat awam akan dinilai menggunakan DEEP bermula tahun ini dan pelaksanaan sistem itu telah dipersetujui JPA

 

Kuala Lumpur, 16 Februari 2024, 21:00 – SISTEM Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) yang akan diperkenalkan bagi menilai prestasi kerja penjawat awam di Malaysia merupakan langkah progresif yang dianggap tepat dan lebih objektif.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA, Dr. Mazlan Che Soh, menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan langkah yang telus dan memperkenalkan kaedah penilaian yang lebih adil.

Mazlan, seorang pakar pentadbiran awam dan politik, menekankan bahawa DEEP dijangka lebih efektif dalam meningkatkan produktiviti penjawat awam.

Beliau mempertegas bahawa sistem ini tidak hanya memastikan ketelusan dalam penilaian, tetapi juga menggalakkan penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik tanpa menjejaskan markah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka.

“Melalui DEEP, mereka (penjawat awam) akan dinilai secara adil berbanding sistem penilaian prestasi sedia ada yang lebih bersifat subjektif seperti pegawai yang menilai penjawat awam di bawahnya hanya ‘agak-agak’ markah yang perlu diberikan.

“…tetapi dengan adanya DEEP, penjawat awam akan diberikan mata 100 peratus pada peringkat awal dan demerit akan dikenakan sekiranya mereka tidak mencapai sesuatu objektif atau Sasaran Kerja Tahunan (SKT) ditetapkan,” katanya.

Menyokong sistem DEEP diperkenal, Mazlan berkata bagaimanapun, setiap penjawat awam sama ada yang menilai atau dinilai prestasi kerja perlu diberi latihan dan maklumat lebih terperinci mengenai kaedah demerit dalam sistem itu.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata semua penjawat awam akan dinilai menggunakan DEEP bermula tahun ini dan pelaksanaan sistem itu telah dipersetujui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mohd Zuki berkata sistem DEEP diperkenal bukan untuk menghukum mana-mana pihak tetapi bagi memastikan sistem penilaian relevan.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula mahu DEEP dilaksanakan dengan adil dan telus bagi memastikan setiap penjawat awam mempunyai peluang kemajuan kerjaya dalam perkhidmatan mereka.

“Kelebihannya di sini ialah penjawat awam akan berusaha untuk tidak melakukan kesalahan supaya tidak dipotong markahnya dan buat kerja dengan baik.

“Penting juga untuk disebut bahawa markah yang ditolak nanti perlu jelas apa perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan demerit supaya ia adil kepada semua penjawat awam,” katanya.

Menyentuh mengenai kepentingan penjawat awam di negara ini, beliau berkata penjawat awam memainkan peranan yang penting terutama dalam menggerakkan dasar kerajaan sekali gus menjadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat.

“Mereka yang bertugas dalam badan beruniform dan ada juga kakitangan biasa yang menggerakkan apa jua keputusan, formula, perbelanjaan dan belanjawan yang telah diluluskan Parlimen, mereka yang menjadi perantara,” katanya.

Pengenalan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) adalah satu langkah positif dalam usaha meningkatkan prestasi kerja penjawat awam di Malaysia. Dengan ketelusan dan keadilan sebagai landasan, diharapkan DEEP akan membawa kepada peningkatan keseluruhan dalam produktiviti dan pengurusan sumber manusia di perkhidmatan awam.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kerajaan Lancar Beras Putih Malaysia Madani Bermula 19 Februari