Kuala Lumpur, 16 Februari 2024, 16:00 – KERAJAAN telah memperkenalkan kategori tunggal beras putih yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani. Keputusan ini dibuat untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Pengerusi Jawatankuasa isu harga makanan dan kos sara hidup (NACCOL), mengumumkan bahawa harga siling baru bagi Beras Putih Malaysia Madani akan berkuatkuasa pada 19 Februari dan akan tersedia di pasaran mulai 1 Mac.
Beliau menyatakan bahawa pihak kerajaan memberikan tempoh 10 hari kepada pemain industri beras untuk melakukan penyelarasan dari segi pembungkusan dan pemasaran.
Harga siling baru bagi Beras Putih Malaysia Madani adalah RM30 untuk 10 kilogram, RM15.50 untuk lima kilogram, dan RM3.50 untuk satu kilogram.
“Keputusan ini diambil bagi menyelesaikan isu beras tempatan yang tiada dipasaran serta sekaligus menjawab kritikan orang ramai kerana terpaksa membeli beras pada harga yang mahal,.
“Ianya adalah hasil libat urus bersama pemegang taruh industri padi dan beras negara termasuk wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), wakil pengilang padi beras.
“Hasil dari sesi libat urus tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohd Sabu serta Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras dan cadangan itu telah dibawa kepada Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani isu beras negara,” katanya pada sidang akhbar di Baitul Husna Puchong pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, pemain industri beras diberi tempoh untuk mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras bagi disesuaikan dengan ketetapan baharu itu sehingga 1 Mac depan.
“Semua jenis pembungkusan dan warna sedia ada di pasaran akan dibenarkan sehingga stok pengampitan di peringkat pemborong habis.
“Namun, pembungkusan Beras Putih Malaysia Madani akan diselaras menggunakan reka bentuk yang kini di peringkat lakaran.
“Ketetapan ini dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara ini sudah dibentang dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sebelum ini, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Syed Abu Hussin berkata, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan manipulasi bekalan beras putih tempatan.
Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini, dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.
“Tindakan ini berpunca akibat tiada kawalan harga ditetapkan bagi bekalan beras putih import, menyebabkan harga barangan berkenaan sentiasa tinggi, selain didorong faktor lonjakan harga import akibat kenaikan harga beras global.
Syed Abu Hussin menekankan bahawa tindakan ini akan menjamin kestabilan harga beras putih tempatan, mengatasi masalah ketersediaan, dan memastikan masyarakat dapat memperoleh beras dengan harga yang adil di pasaran.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>