Sindiket Bangla

 

Kuala Lumpur, 16 Februari 2024, 12:00 – PADA 14 Februari 2024, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen melalui satu Operasi Khas yang dijalankan.

Operasi ini bermula pada jam 2.00 petang dan melibatkan sepasukan pegawai serta anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK). Pasukan operasi ini diatur untuk menyerbu premis di sekitar Petaling Jaya, Selangor, dan sebuah premis di Jalan Alor, Kuala Lumpur.

Dalam tempoh dua minggu risikan dan aduan, pasukan operasi berhasil mengesan serta menahan dua lelaki warganegara India dan Bangladesh berusia antara 28 hingga 31 tahun yang disyaki sebagai dalang utama sindiket. Mereka ditahan kerana tidak memiliki pas yang sah untuk berada di Malaysia.

Selain itu, dua lelaki warganegara Bangladesh berusia 28 tahun yang dipercayai sebagai ahli sindiket turut ditahan semasa pemeriksaan. Satu daripada mereka tidak memiliki pas yang sah, manakala yang lain telah tinggal lebih masa di negara ini.

Pasukan operasi berjaya merampas sejumlah dokumen palsu dan peralatan yang digunakan sindiket tersebut. Antara barang rampasan termasuk empat naskhah pasport India milik orang lain, pasport India palsu, pasport Pakistan palsu, pasport Bangladesh palsu, 26 keping Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, dua keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) palsu, dua komputer riba, dan sebuah pencetak.

Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyasarkan warganegara dari negara sumber seperti Bangladesh, India, dan Pakistan yang menghadapi masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.

Suspek akan mendekati mereka yang menghadapi masalah ini dan menawarkan perkhidmatan seperti pasport palsu, PLKS palsu, dan kad CIDB palsu. Sindiket ini didakwa telah beroperasi selama setahun dengan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap naskhah pasport, RM500 bagi setiap PLKS dan kad CIDB.

Kesemua pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan akan menghadapi tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Jabatan berazam untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Stok Minyak Sawit Malaysia Terendah Dalam Enam Bulan