Kuala Lumpur, 10 Januari 2024, 10.00 malam – TERDAPAT 100 buah syarikat dikesan beroperasi di negara ini untuk membawa masuk rakyat dari negara Asia Selatan. Syarikat itu dipercayai didalangi warga Bangladesh dengan menawarkan pekerjaan meskipun tiada permintaan daripada majikan di Malaysia.

Modus operandi syarikat adalah menggunakan rakyat Malaysia sebagai pemegang saham utama tetapi  tidak berfungsi seperti firma perniagaan biasa, sebaliknya didakwa hanya diuruskan runner rakyat negara itu di sini. Warga Bangladesh yang menjadi rakan kongsi syarikat tersebut hanya memegang 49% saham.

Ada antara mereka mendaftarkan perniagaan syarikat atas nama isteri rakyat tempatan yang dikahwini selepas beberapa tahun menetap di negara ini. Syarikat ini dikatakan menjadi ejen mencari majikan tempatan yang memerlukan pekerja atau mengupah majikan untuk memohon pekerja asing dari Bangladesh.

Namun, apabila tiada permintaan pekerja dari mana- mana majikan, berlakulah lambakan warga asing terutama dari Bangladesh yang dilaporkan melebihi 500,000 orang yang masuk tanpa pekerjaan.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (PUSMA), Zarina Ismail, berkata pihaknya dan beberapa agensi pekerjaan lain mengesan kewujudan banyak ‘syarikat asing’ seperti itu sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Kami sudah membawa perkara itu kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada Disember tahun lalu, memandangkan terlalu ramai pekerja dari Bangladesh memasuki negara sejak selepas pandemik COVID-19.

Kewujudan syarikat ini sangat membimbangkan kerana disyaki bertanggungjawab menyebabkan kepincangan dalam pengambilan pekerja dari Bangladesh. Ia juga menjadi persoalan, kenapa syarikat berkenaan boleh wujud dan menjalankan perniagaan secara terbuka.

Atas kertas mereka ini (rakyat Bangladesh) mempunyai 49 peratus saham syarikat, tetapi sebenarnya merekalah pemilik sebenar syarikat itu. Rakyat kita menjadi pengarah dan pemilik saham terbesar hanya ‘wayang’ untuk kabur mata pihak berkuasa.

Syarikat ini adalah ejen yang membawa masuk rakyat Bangladesh ke Malaysia kerana mereka tahu ‘jalan mudah’ untuk membuat duit menggunakan kepincangan dalam sistem di negara ini.

Mereka yang tiada pekerjaan ini menjadi antara penyumbang kepada kebanjiran pekerja asing dalam negara yang kini dianggarkan melebihi 2.7 juta sehingga mencetuskan isu ketenteraman awam dan pelbagai masalah sosio-ekonomi.

Mengulas lanjut, Zarina menjelaskan, lebih membimbangkan, syarikat berkenaan mempunyai kepakaran dalam menguruskan pengambilan pekerja dengan memalsukan dokumen yang diperlukan. Aduan yang kami terima, mereka ini boleh melakukan pelbagai pemalsuan dokumen atau pelekat yang sepatutnya hanya dikeluarkan Jabatan Imigresen sahaja.

“Menjadi persoalan mengapa syarikat ini boleh wujud dan kenapa mereka hanya menumpukan kepada negara Bangladesh sahaja, sedangkan Malaysia membenarkan pekerja daripada 14 negara lain untuk dibawa masuk.

MUngkinkah benar wujudnya kartel yang melindungi lebih 100 syarikat yang didalangi warga Bangladesh ini ?

 

#PrezCom