Suami Isteri Mengaku Salah. Tipu Duit Zakat Dan Suapan.
Bekas ahli jawatankuasa zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Mohamad Zahari Harun, didenda RM10,000 berhubung agihan zakat dan suapan.

Kuala Lumpur, 29 Ogos 2024, 5.00 petang – SEORANG bekas ahli jawatankuasa zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, yang juga ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat didenda RM10,000 di Mahkamah Seksyen di sini berhubung agihan zakat lima tahun lalu dan juga suapan.

Hakim Mohd Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Mohamad Zahari mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009. Selain dari itu tertuduh juga akan menerima hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mohamad Zahari didakwa menerima wang tunai berjumlah RM 5,500 daripada Lydia Irmawati Mahmud. Mengikut pertuduhan, perbuatan tersebut dilakukan dipejabat MAIDAM pada 15 Julai 2020 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 ASPRM 2009. Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 26 SPRM 2009.

Sebelum ini, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan melantik syarikat Amcare Agency sebagai Agen Kutipan Zakat MAIDAM pada Mesyuarat Jawatankuasa Zakat MAIDAM Kali Ke-4 Tahun 2019 yang mana syarikat tersebut adalah milik isterinya, Lydia Irmawati Mahmud. Untuk itu, Mohamad Zahari didakwa mengikut Seksyen 23(1) ASPRM 2009.

Sementara itu, Lydia Irmawati, 41, didakwa atas empat pertuduhan pilihan kerana menipu penolong akauntan bahagian pengurusan zakat MAIDAM. Lydia Irmawati yang juga pemilik syarikat didenda RM16,000 di mahkamah sama dan akan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dikenakan hukuman denda RM4,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan satu hingga empat, tertuduh didakwa menipu Penolong Akauntan Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM di Pejabat Bahagian Pengurusan Zakat, MAIDAM di sini antara Disember 2020 hingga Disember 2021. Tertuduh didakwa melakukan penipuan sehingga mendorongnya membuat bayaran sebanyak RM6,231.02 kepada syarikat berkenaan.

Lydia Irmawati sebelum ini berdepan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 420 KK kerana menipu ke atas tuntutan bayaran balik wang zakat (Wakalah) dan komisyen terhadap pihak MAIDAM yang mana penipuan tersebut mendorong pihak MAIDAM untuk membuat bayaran kepada syarikat tersebut berjumlah keseluruhan RM19,000 daripada wang zakat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Kredit – Metro

# Prezcom

Lebih Banyak Berita :

Jahil Tentang Kedudukan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan Negara.