Loke Beri Jaminan, Pekerja KTMB Tidak Akan Hilang Pekerjaan
Penambahan tren itu adalah bertujuan untuk mempertingkatkan dan memperkasakan perkhidmatan KTMB

Kuala Lumpur, 21 Ogos 2024, 11.00 malam – MENTERI Pengangkutan Anthony Loke memberi jaminan kepada pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bahawa mereka tidak akan hilang pekerjaan setelah kerajaan mendapat 62 tren tambahan dari China melalui kaedah pajakan.

Menurut Loke, perkara ini telah pun dibincangkan sebelum membuat sebarang keputusan dan beliau berkata , kerajaan tetap akan mendapatkan khidmat pekerja tempatan bagi menyenggara dan membaiki tren baru itu.

Loke berkata, keputusan untuk mendapatkan tren tambahan dari China itu adalah disebabkan sering mendengar rungutan rakyat mengenai perkhidmatan KTMB yang kian merosot dan makin tidak memuaskan. Oleh itu kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik untuk menambah bilangan tren tersebut.

Pada Ahad lalu, RUM (Kesatuan Pekerja-Pekerja Kereta Api Tanah Melayu) telah melahirkan kebimbangan terhadap keputusan kerajaan mendapatkan tren tambahan dari China melalui kaedah pajakan dalam perjanjian bernilai RM10.7 bilion. Apa yang dirisaukan adalah pekerja KTMB yang sedia ada akan kehilangan pekerjaan terutama dibahagian penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO).

Loke memberitahu Kesatuan KTMB tersebut bahawa penambahan tren itu adalah bertujuan untuk mempertingkatkan dan memperkasakan perkhidmatan KTMB supaya perkhidmatan ini lebih diterima oleh rakyat. Beliau juga berkata, perkara tersebut tidak akan memberi kesan kepada pekerja KTMB sekarang kerana kerajaan hanya membuat penambahan tren sahaja.

Minggu lalu, kabinet telah memutuskan untuk mendapatkan tren penumpang bagi rangkaian kereta api KTMB dengan kaedah pajakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dan China. Ini merupakan strategi baru dan kos pajakan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Pada masa ini tren-tren penumpang terutamanya yang menggunakan perkhidmatan ETS dan KTMB Komuter sering menghadapi cabaran daripada segi ketersediaan dan kebolehpercayaan.

Kredit – Malaysiakini

#Prezcom

Lebih Banyak Berita :

Bagi Mengangkat Martabat Bumiputera, Kerajaan Memperkenalkan PUTERA 35