UiTM

 

Kuala Lumpur, 04 Mei 2024, 16:00 SETAKAT ini, tiada perbincangan rasmi dibuat mengenai cadangan untuk memperluaskan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada pelajar bukan Bumiputera.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa beberapa perkara asas perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan untuk menerima pelajar bukan Bumiputera dalam program tersebut.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menekankan komitmen kerajaan dalam mencari penyelesaian terbaik, sambil menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengetuai usaha menyelesaikan isu ini.

“Kita belum bincangkan perkara ini, dan tiada makluman rasmi mengenai cadangan tersebut. Penting untuk kita menyelesaikan beberapa isu asas terlebih dahulu sebelum membincangkan cadangan ini,” katanya ketika ditemui selepas program Suara Anak MADANI di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, portal media dalam talian melaporkan bahawa UiTM sedang mempertimbangkan cadangan untuk memperluaskan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada doktor pelatih bukan Bumiputera.

Profesor di Fakulti Perubatan UiTM, Dr. Raja Amin Raja Mokhtar, dilaporkan mencadangkan perkara ini sebagai penyelesaian kepada isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ pembedahan kardiotoraks yang tidak diiktiraf.

Menurutnya, program latihan ‘parallel pathway’ pembedahan kardiotoraks UiTM-Institut Jantung Negara adalah satu-satunya program yang ditawarkan di negara ini.

Pada 2 April lalu, KKM mengumumkan bahawa Program Parallel Pathway (PPP) akan diiktiraf, dan bercadang supaya Kabinet menyegerakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi tujuan itu.

Pada 19 April lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi dan KKM bersetuju untuk menyelesaikan isu PPP bagi pakar perubatan.

Kredit – BHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Pm Umum Kenaikan Gaji Penjawat Awam Lebih 13% Mulai Disember