Kuala Lumpur, 04 Mei 2024, 12:00 – PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus yang akan bermula Disember ini, mencatatkan kenaikan tertinggi dalam sejarah negara. Langkah ini melibatkan peruntukan melebihi RM10 bilion.
Beliau menjelaskan bahawa kenaikan ini adalah di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan oleh kerajaan.
Melalui sistem ini, kerajaan juga akan memastikan bahawa pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding kadar minimum semasa iaitu RM1,795 sebulan.
Anwar juga mengingatkan bahawa kenaikan gaji penjawat awam tertinggi sebelum ini adalah pada kadar 13 peratus, kira-kira 12 tahun lalu. Namun, kerajaan MADANI bertekad untuk memastikan kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.
Pelaksanaan penuh SSPA dijadualkan bermula pada 2025, seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Beliau menekankan bahawa pelaksanaan SSPA ini akan mengambil kira aspek kewangan negara, untuk memastikan hutang negara tidak melebihi had yang sepatutnya.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa kenaikan gaji ini tidak akan diberikan secara automatik kepada semua penjawat awam, tetapi akan berdasarkan prestasi kerja masing-masing.
Mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik tidak akan layak menerima kenaikan ini.
Anwar juga berharap agar syarikat-syarikat swasta akan mengikuti langkah kerajaan dengan menaikkan gaji pekerja mereka, terutamanya bagi syarikat yang memperoleh keuntungan besar.
Beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan hanya memberi perhatian kepada penjawat awam dan mengabaikan pekerja di sektor lain.
Selain itu, kerajaan Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak supaya selaras dengan Akta Kerja 1955 di Semenanjung Malaysia.
Anwar juga menyatakan bahawa kedudukan Malaysia dalam Subindeks Kecekapan Kerajaan bagi kajian IMD World Competitiveness Yearbook telah meningkat kepada tangga ke-29 pada tahun 2023, berbanding ke-38 pada tahun 2022.
Prestasi ini menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mencapai kedudukan 20 teratas menjelang tahun 2025, seperti yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>