
Kuala Lumpur, 21 APRIL 2024, 16:00 – BEKAS ahli parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said, telah mengesahkan bahawa barangan keperluan asas yang ditemui di tapak pelupusan sampah haram di Temerloh adalah daripada gudang simpanannya.
Menurut Ismail, barangan tersebut telah rosak dan tidak selamat untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.
Ismail telah memohon maaf atas kejadian tersebut dan mengakui tanggungjawab penuh terhadap isu pelupusan barangan ini.
Beliau menjelaskan bahawa beras dan barangan dapur tersebut merupakan stok simpanan yang disediakan untuk memenuhi permintaan semasa beliau menjadi ahli parlimen Kuala Krau.
Semua barangan tersebut menggunakan peruntukan peribadi dan tidak melibatkan dana daripada kerajaan Persekutuan atau kerajaan Pahang.
Sejak semalam, gambar-gambar yang menunjukkan beras dan pelbagai barangan keperluan harian yang dibuang di tapak pelupusan sampah telah tular.
Tapak pelupusan sampah itu terletak di laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum, berhampiran Kuala Krau, Temerloh.
Ismail turut menjelaskan bahawa barangan tersebut dilupuskan kerana penemuan bangkai tikus dan beras yang tercemar dengan bubuk atau kutu beras.
Pada 5 April lalu, beliau menerima aduan mengenai bau busuk dari gudang simpanan tersebut. Hasil siasatan mendapati terdapat bangkai tikus dan beras serta barangan dapur yang dicemari bubuk, yang tidak sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai.
Sebahagian daripada beras tersebut telah diberikan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, manakala sebahagian lagi dilupuskan.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh.
Turut hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Berdasarkan penemuan awal, pihak KPB Cawangan Temerloh mendapati bahawa beras-beras tersebut telah rosak dan tidak selamat untuk dimakan.
Kementerian menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini memandangkan perkara ini masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Terdahulu, SWCorp Pahang memaklumkan bahawa mereka telah memulakan siasatan mengenai isu tersebut.
Pengarahnya, Sharudin Hamid, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).
Beliau turut mengesahkan bahawa tapak pelupusan sampah haram itu telah beroperasi sejak 2014 di atas tanah milik Felcra.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>