Kuala Lumpur, 21 APRIL 2024, 12:00 – POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah meningkatkan langkah kawalan keselamatan dan menambah jumlah pegawai serta anggota di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 dan 2 sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa kawalan keselamatan kini melibatkan pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (JKDNKA).
Untuk Terminal 1, seramai 23 pegawai dan anggota akan bertugas, manakala Terminal 2 pula akan dilengkapi dengan 14 pegawai dan anggota. Penugasan ini dilakukan secara bergilir dengan tiga syif sehari.
Anggota polis akan melaksanakan rondaan secara ‘prowler’ di lapan pintu masuk dan keluar di Balai Pelepasan serta Balai Ketibaan di kedua-dua terminal.
“Peningkatan kawalan keselamatan dan rondaan ini menunjukkan komitmen PDRM dalam menghadapi apa-apa kemungkinan dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di pintu masuk utama Malaysia terjamin,” kata Razarudin.
Beliau menambah bahawa dua anggota IPD KLIA akan ditempatkan di setiap aras di Terminal 1, iaitu di aras ketibaan di tingkat 3 dan aras pelepasan di tingkat 5. Konsep penugasan ini melibatkan anggota berpakaian uniform lengkap bersenjata SMG HK MP5.
Anggota IPD KLIA akan bertugas berpasangan dengan anggota PGA yang memakai seragam penuh operasi beserta beret, body armor, serta senjata utama dan sekunder.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PDRM untuk meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Pada kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad lalu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, yang mengakibatkan seorang pengawal peribadi cedera.
Kredit – HMetro
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>