Kuala Lumpur, 167APRIL 2024, 16:00 – SEPERTI dalam mimpi, aktivis kemanusiaan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman tidak menyangka panggilan telefon sehari sebelum Aidilfitri membawa khabar gembira.
Selepas hampir 200 hari berjauhan dengan keluarganya yang menetap di Gaza, doa Nadir untuk bertemu semula dengan anaknya akhirnya termakbul.
Berkongsi kisah bagaimana anaknya dibawa pulang ke Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu menceritakan mengenai ‘Misi Gila’ yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Beliau mengakui pernah meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun pada awalnya tidak menerima jawapan yang memuaskan.
“Kisah bermula ketika Gaza dalam keadaan perang sengit dan keluarga saya berjaya sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri. Saya bersama sahabat, (Dr) Sani Araby (Ketua Pegawai Eksekutif) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), berpeluang bertemu watak utama misi menyelamat bulan lalu di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin. Dalam ramai orang, saya sempat memberitahu tentang keluarga yang terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat memberi respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya,” katanya di Facebook.
Nadir bercerita lanjut, sehari sebelum Aidilfitri, beliau dihubungi oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, yang memintanya hadir ke sebuah lokasi rahsia. Ahmad Farhan sering menjemput mereka ke pejabatnya di Putrajaya dan kerap bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.
“Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan memaklumkan kami untuk datang ke lokasi khas. Hanya saya dan (Dr) Sani dibenarkan ke sana. Allahuakbar. Saat sampai, ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam drama. Saya terkejut apabila pintu dibuka dan anak saya menerpa, air mata seorang ayah tak mampu menahan kerinduan,” katanya.
Nadir menganggap misi ini sebagai ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah mengeluarkan keluarganya ketika bedilan roket dan hentaman bom berterusan, serta ketegangan di sempadan. Namun, diplomasi insani oleh pemimpin negara terbukti lebih berkesan daripada kaedah lain.
Proses oleh pasukan itu sangat cepat, teratur, dan lancar walaupun penuh dengan cabaran tersirat. Watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam isu Palestin, umat memerlukan satu ketumbukan.
“Tindakan PMX (Anwar) menghalang kemasukan kapal penjajah ke pelabuhan kita, sokongan kepada Hamas, dan jawapan tegas di hadapan Canselor Jerman menjadikan Malaysia disebut-sebut di kalangan marhaen di bumi penuh keberkatan dan peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berharap rakyat Malaysia terus bersatu membela nasib saudara di Palestin serta menjadi jaguh dunia dengan tindakan nyata. Nadir juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini, sama ada secara langsung mahupun doa.
“Semoga Allah sahaja yang membalas jasa kalian semua,” katanya.
Kredit – BHarian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Mahkamah Rayuan Tetapkan 9 Julai Untuk Dengar Permohonan Muhyiddin