PADU

 

Kuala Lumpur, 18 Mac 2024, 21:00 – ANGKA sebenar berkaitan kumpulan miskin tegar dijangka akan diperoleh selepas sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) dikemas kini sepenuhnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menjelaskan bahawa pada masa ini, laporan rasmi menunjukkan kadar kemiskinan tegar di negara ini adalah sebanyak 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat.

Menurut Rafizi, kadar kemiskinan tegar telah menurun kepada 0.2 peratus atau 18,445 isi rumah, berdasarkan data terbaru. Ini menunjukkan penurunan berbanding 1 peratus yang dicatatkan pada tahun 2020 melalui Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES).

Data daripada eKasih yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut merekodkan pengurangan jumlah isi rumah miskin tegar kepada 80,000 Ketua Isi Rumah (KR) sehingga akhir tahun lalu.

Rafizi memberikan penjelasan ini semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis, menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Muttalib (PN-Maran) mengenai jumlah sebenar kemiskinan tegar, yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa ia akan dihapuskan.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan bahawa konsep menghapuskan kemiskinan tegar merupakan langkah yang sedang diperhalusi oleh Kabinet. Pendekatan ekonomi akan diambil setelah memperoleh data yang tepat mengenai kemiskinan tegar di negara ini.

Beliau menjelaskan bahawa “miskin sifar” merujuk kepada kadar kemiskinan tegar yang dilaporkan setiap tahun dalam laporan rasmi negara. Meskipun kadar kemiskinan tegar kini adalah 0.2 peratus, jumlah ini akan dipantau dan mungkin berubah setiap tahun berdasarkan garis kemiskinan.

Rafizi menegaskan bahawa sasaran untuk mengurangkan jumlah individu miskin tegar berdasarkan laporan rasmi adalah penting, namun menghapuskan kemiskinan tegar sepenuhnya tidak bermakna tiada langsung orang miskin tegar kerana kemiskinan bersifat relatif. Jika demikian, tidak perlulah ada zakat.

Menjawab soalan tambahan Ismail mengenai data eKasih, Rafizi memaklumkan bahawa data tersebut perlu dikemas kini secara berkala kerana terdapat penerima bantuan yang tidak mahu dikeluarkan dari senarai walaupun pendapatan mereka telah meningkat.

Kerajaan akan terus mengemas kini data eKasih dan mengintegrasikannya dalam sistem PADU bagi memastikan maklumat mengenai jumlah orang miskin tegar di negara ini adalah lebih tepat dan terkini.

Kredit – Sinar Harian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Guru Disaran Bantu Banteras Jenayah Seksual Kanak-Kanak – Azalina