Jenayah

 

Kuala Lumpur, 17 Mac 2024, 16:00 – WARGA pendidik, terutamanya guru, digalakkan untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah seksual yang membabitkan kanak-kanak sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa terdapat kes di mana kejadian jenayah seperti ini tidak dilaporkan oleh guru-guru, menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk melindungi mangsa dan mengambil tindakan terhadap pelaku.

Azalina mengingatkan bahawa guru-guru harus sedar mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mengabaikan aduan atau luahan murid yang mendakwa mereka menjadi mangsa jenayah tersebut.

Ini dinyatakan di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

“Harapan kami ialah dalam tempoh lapan jam waktu sekolah, para guru dan guru besar boleh berfungsi sebagai mata dan telinga untuk membantu kami dalam menangani kes-kes jenayah ini. Kami ingin melihat lebih ramai guru yang tampil membuat laporan mengenai kejadian sebegini,” ujar Azalina semasa sidang media selepas merasmikan Konvensyen Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual.

Konvensyen tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Konvensyen ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada warga pendidik mengenai kepentingan mematuhi Seksyen 19 Akta tersebut.

Seksyen 19 menggariskan hukuman bagi individu yang tidak melaporkan maklumat mengenai perlakuan atau niat seseorang untuk melakukan jenayah tersebut. Akta ini juga mewajibkan mana-mana individu yang mempunyai maklumat sedemikian untuk melaporkannya di balai polis berdekatan. Jika gagal, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000.

Azalina juga menekankan bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) akan terus bekerjasama dengan kementerian lain untuk memastikan undang-undang ini berfungsi dengan baik dalam masyarakat.

“Kami mengambil pendekatan yang berbeza kali ini dengan melibatkan semua pihak berkaitan, memastikan bukan hanya undang-undang yang baik tetapi juga melibatkan sekolah dan guru dalam pelaksanaannya,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa usaha sedang dilakukan untuk menambah bilangan guru kaunseling terlatih bagi menangani isu-isu semasa termasuk kesihatan mental dan disiplin murid.

Beliau juga mengingatkan para pendidik untuk memberikan perhatian yang lebih terhadap murid dan peka terhadap tanda-tanda jenayah seksual di sekolah.

Konvensyen sehari itu juga menyaksikan pemeteraian kerjasama antara BHEU dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai perkongsian data dan statistik kes jenayah seksual, pembaharuan modul latihan untuk guru, dan penganjuran program kesedaran mengenai hak kanak-kanak dan keselamatan diri.

Kerjasama ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dalam sistem pendidikan selama tempoh dua tahun akan datang.

Kredit – Bernama

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Google Diminta Beri Penjelasan Berhubung Data Kadar Pertukaran Ringgit Tidak Tepat – Fahmi