Google

 

Kuala Lumpur, 17 MAC 2024, 12:00 – KERAJAAN Malaysia telah meminta penjelasan daripada Google berhubung isu data kadar pertukaran ringgit terhadap dolar Amerika Syarikat (AS$1) yang diterbitkan oleh enjin carian tersebut, yang menunjukkan kadar tidak tepat mencecah RM4.98.

Kesilapan ini bukan kali pertama berlaku, dan ia menimbulkan kebimbangan kerajaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memberitahu bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, telah menghubungi pihak Google untuk mendapatkan penjelasan mengenai masalah ini.

Fahmi menegaskan bahawa ketika kerajaan sedang berusaha untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi negara dan membina keyakinan pelabur, isu asas seperti ini tidak seharusnya berlaku.

“Ini adalah masalah yang tidak seharusnya berlaku, dan kita tidak akan membiarkan ia berulang lagi,” tegasnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada BNM kerana memberikan penjelasan yang cepat mengenai data yang tidak tepat itu.

Dalam kenyataan hari ini, BNM menegaskan bahawa data kadar pertukaran AS$/MYR yang diterbitkan oleh Google adalah tidak tepat.

Pada hari Jumaat, 15 Mac 2024, kadar pertukaran AS$/MYR dilaporkan berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi dan 4.7045 pada pukul 5 petang, dengan kadar intrahari tertinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan untuk ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman web BNM.

BNM juga memaklumkan bahawa ini adalah kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran yang tidak tepat tahun ini, dan telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google selepas kejadian pertama pada 6 Februari 2024.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Cameron Highland Diiktiraf Bandar Paling Bahagia Di Malaysia