Kuala Lumpur, 16 Mac 2024, 16:00 – CAMERON Highlands di Pahang telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 bandar paling bahagia di Malaysia untuk tahun 2024. Penilaian ini berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia yang dilakukan oleh PLANMalaysia.
Bandar-bandar lain yang tersenarai termasuk Jeli, Jerantut, Kuala Terengganu, Lenggong, Bandaraya Melaka, Petaling Jaya, Port Dickson, Kulai, dan Rompin. Indeks ini menilai kebahagiaan berdasarkan 14 aspek seperti kualiti alam sekitar, kepimpinan tempatan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), infrastruktur asas, hubungan kejiranan, keseronokan bekerja, dan tahap stres.
Hari Kebahagiaan Sedunia disambut pada 20 Mac setiap tahun, dan di Malaysia, ia telah diraikan secara rasmi sejak tahun 2015. Tema tahun ini, ‘Bahagia Bersama Malaysia Madani’, menggambarkan tumpuan negara kepada kesejahteraan rakyat, keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan, dan tadbir urus yang baik.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pemilihan Cameron Highlands sebagai bandar bahagia adalah berdasarkan maklum balas dan perasaan penduduk tempatan.
Faktor-faktor seperti harga sayur yang berpatutan, cuaca sejuk, dan kepuasan bekerja turut mempengaruhi penilaian tersebut. Malaysia kini berada di tangga ke-55 dalam ranking kebahagiaan dunia, melonjak 15 anak tangga dari tahun 2022, dan berada di tempat kedua di ASEAN selepas Singapura.
Kor Ming turut menyatakan bahawa Malaysia memperoleh skor 6.012 mata dalam indeks kebahagiaan global. “Kedudukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15 tangga berbanding tahun 2022,” ujarnya.
Pada tahun 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-70, dan pada tahun 2022, di kedudukan ke-81. “Jika dibandingkan dengan negara jiran ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua selepas Singapura, dan di rantau Asia, kita berada di tangga kesembilan,” tambahnya.
Malaysia juga mencatatkan peningkatan dalam Indeks Kebahagiaan sebanyak 5.7 mata dari tahun 2019, dengan 71% daripada 144 PBT yang disurvei melaporkan tahap kebahagiaan yang tinggi.
“Saya difahamkan bahawa dalam pengukuran Indeks Kebahagiaan 2024, sebanyak 144 PBT telah menyertai kaji selidik ini, di mana 71% telah mencapai tahap bahagia dan 29% berada pada tahap sederhana bahagia,” jelas Kor Ming.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>