Perladang Getah

Kuala Lumpur, 5 Januari 2024, 21:00 – KIRA-KIRA 80,000 pekerja diperlukan dalam sektor perladangan getah bagi menampung keperluan di kira-kira 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Kalau ikut perkiraan, satu setengah hektar memerlukan seorang pekerja. Jadi kita perlukan antara 70,000 dan 80,000 pekerja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya.

Berhubung faktor utama yang menyebabkan generasi muda kurang berminat dalam sektor perladangan getah adalah disebabkan kadar upah yang murah serta tidak berbaloi.

Tinjauan menerusi laman Facebook (FB) dan X (sebelum ini dikenali Twitter) bertajuk: Kenapa generasi muda tidak berminat bekerja dalam perladangan getah; dengan tiga pilihan jawapan iaitu upah tak berbaloi, kerja tak popular dan kerjaya tiada masa hadapan.

Majoriti netizen menyatakan faktor harga getah yang begitu murah dan pendapatan hasil daripada sektor berkenaan yang tidak setimpal dengan kos sara hidup menyebabkan mereka tidak berminat menceburi sektor ini.

Ada yang menyatakan bahawa kebanyakan generasi muda ketika ini sudah mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dan justeru itu, kecenderungan mereka lebih memilih kerjaya yang mampu memberi gaji lumayan.

Johari melaporkan negara telah kehilangan sebanyak RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil tidak diusahakan kerana kekurangan sumber tenaga kerja.

Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun lepas, trend pengeluaran produk getah mencatatkan penurunan yang dikenal pasti berpunca daripada beberapa masalah antaranya kekurangan tenaga kerja, kos pengeluaran yang tinggi dan saiz pegangan kebun tidak ekonomik.

“Situasi ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya tiada langkah mitigasi dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Johari turut menekankan aspek kebajikan golongan pekerja termasuk pekerja asing dengan menggesa majikan sektor perladangan agar menyediakan kemudahan penginapan yang sempurna kepada golongan itu.

“Ini akan beri kesan kepada penarafan dan pensijilan kepada produk yang kita eksport. Perkara ini perlu dititikberatkan, barulah orang akan beli produk negara kita sebab mereka tahu kita mematuhi segalanya,” katanya.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Netizen Kecam Alif Satar & Geng Subuh Macam Jumaat