Kuala Lumpur, 5 Januari 2024, 17:00 – DALAM ramai yang memuji usaha murni Alif Satar, 33, tidak ambil kisah dengan pandangan negatif segelintir pihak terhadap usahanya mengajak orang ramai mengimarahkan masjid menerusi kempen #GengSubuhMacamJumaat ketika ini.
Ada suara-suara mendakwa kempen yang digerakkan Alif sejak November lalu itu mendapat sambutan hanya disebabkan dirinya berstatus selebriti.
Alif berkata, di sebalik mereka yang mengecam, masih ramai yang memberi sokongan yang dibuktikan dengan kehadiran ramai jemaah mengerjakan solat Subuh berjemaah.
Bagaimanapun, Alif yang popular dengan lagu Lelaki Seperti Aku enggan memikirkan soal pandangan negatif segelintir pihak terhadap kempen berkenaan.
“Saya tak peduli langsung sebab saya tahu apa yang dibuat ini untuk ajak ramai-ramai (solat secara berjemaah di masjid). Dua tiga orang ini saya tak kisah.
“Saya rasa bila buat gerakan sebegitu ramai yang ikut. Tak ada kena mengena dengan kepentingan diri, apa yang saya buat ini memang kerana Allah SWT.
Pada masa sama, Alif menyarankan umat Islam mendirikan solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran kawasan masing-masing.
“Jom ajak semua orang di sekeliling kita untuk bangun solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran masing-masing.
“Insya-Allah, saya boleh sertai di mana-mana masjid nanti,” katanya.
Baru-baru ini, ada pihak melayangkan komen negatif dan menganggap mereka yang menyertai kempen #GengSubuhMacamJumaat sekadar mahu bertemu selebriti.
Bagaimanapun, ramai juga yang mempertahankan Alif kerana beranggapan kempen itu sebagai motivasi supaya masyarakat dapat terus menunaikan solat berjemaah di masjid.
Pada 1 Januari lalu, sebagai menyambut ketibaan tahun baru, kempen #GengSubuhMacamJumaat mendapat sambutan hangat apabila disertai kira-kira 3,000 jemaah.
Alif kini tampil dengan filem Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menemui penonton di pawagam bermula hari ini.
Sesi tayangan khas filem ini semalam turut dihadiri ahli kelab peminatnya yang juga terbabit menyertai #GengSubuhMacamJumaat.
Pelakon lain filem terbitan Grand Brilliance Studio itu adalah Eyka Farhana, Fasha Sandha, Azlan Komeng, Dian P Ramlee, Azizah Mahzan dan Shaharuddin Thamby.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>