
Kuala Lumpur, 18 December 2023, 16:49 – KETUA Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata, cadangan untuk mengadakan pillihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak sewajarnya dibangkitkan dan didakwa menimbulkan provokasi terhadap status quo persefahaman antara kaum yang dikecapi selama ini.

Dr. Akmal juga berkata, kenyataan seperti itu tidak perlu dikeluarkan dan beliau percaya Kerajaan Perpaduan sendiri juga tidak selesa kerana kenyataan terbabit membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang.
Berada dan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan tidak bermakna bersetuju dalam semua perkara kerana kerajaan yang ada sekarang bukanlah kerajaan DAP, tetapi kerajaan campuran. Pemuda UMNO tidak sesekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama ini.
Kerajaan ini dibina dengan kehadiran UMNO dan segala keputusan melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu kami tidak akan sedikit pun berganjak apa lagi mengalah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Dr. Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, kenyataan-kenyataan seperti itu seolah-olah ada mesej atau isyarat tertentu yang hendak disampaikan. Selama enam dekad Malaysia ditadbir, ia berdasarkan konsensus dan kemuafakatan malah disokong serta disenangi oleh majoriti.
Pemimpin DAP perlu lebih sensitif kepada semua perkara yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak. Di dalam kerajaan perpaduan, segala keputusan perlu dicapai bersama, dan disebabkan itulah kerajaan sekarang dipanggil Kerajaan Perpaduan.
“Sikap menghormati keharmonian yang sedia ada perlu diterapkan oleh DAP demi menjaga kesejahteraan bersama. Bukan membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat serta sesama kaum,” kata Dr. Akmal lagi.
Perkara ini timbul susulan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai ketika berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur baru-baru ini mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
#PrezCom
Baca Lebih Banyak Berita: