Aktiviti pembinaan bagi harta tanah kediaman pada suku pertama 2025 merekodkan pertumbuhan yang signifikan apabila bilangan unit siap dibina (completion) meningkat 30.2% kepada 9,329 unit

PUTRAJAYA, 10 Mei 2025. Aktiviti pembinaan bagi harta tanah kediaman pada suku pertama 2025 merekodkan pertumbuhan yang signifikan apabila bilangan unit siap dibina (completion) meningkat 30.2% kepada 9,329 unit (S1 2024: 7,168 unit), manakala unit mula dibina (start) pula menokok 32.5% kepada 28,344 unit (S1 2024: 21,391 unit). Kenaikan yang memberangsangkan ini menunjukkan trajektori pembangunan sektor kediaman semakin mengukuh. Walaubagaimanapun, prestasi transaksi harta tanah mengalami penurunan marginal dengan bilangan dan nilai transaksi menurun 6.2% dan 8.9% kepada 97,772 transaksi bernilai RM51.42 bilion, berbanding 104,194 transaksi bernilai RM56.47 bilion pada tempoh yang sama tahun 2024.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, YBrs. Sr Abdul Razak Yusak, berkata walaupun transaksi harta tanah bermula perlahan, kerancakan aktiviti pembinaan serta pertambahan pelancaran baharu kediaman mengimbangi pertumbuhan pasaran harta tanah bagi meneruskan momentum yang positif pada tahun 2025.

“Sokongan berterusan kerajaan melalui Program Residensi Rakyat (PRR), Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan pembangunan infrastruktur yang strategik, menjadi pemangkin kerancakan aktiviti pembinaan. Inisiatif kerajaan ke atas prospek pelaburan global pula iaitu Zon Kewangan Khas Forest City, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan pelaksanaan zon bebas cukai di Pulau Satu, Forest City mula menampakkan impak yang ketara. Pasaran pangsapuri khidmat di Johor Bahru yang siap dibina tidak terjual (overhang) memperlihatkan impak positif apabila bilangannya menurun 5.6% pada suku pertama 2025 berbanding Suku Keempat 2024,” ulas beliau.

Intipati lain prestasi pasaran harta tanah suku pertama 2025 adalah:

Pasaran Harta Tanah Kekal Mampan dan Berdaya Tahan

YBrs. Sr Abdul Razak berkata pertumbuhan pasaran harta akan terus berdaya tahan didorong oleh perkembangan positif dalam sektor pembinaan dan pertambahan pelancaran baharu. Waupun pasaran harta tanah meneruskan prospek yang positif, penggiat industri dan pemaju harta tanah perlu peka dengan perubahan situasi pasaran, cabaran ekonomi global dan persekitaran luaran yang sukar diramal.

Kerajaan MADANI juga telah menyediakan beberapa projek pemangkin untuk memacu ekonomi tempatan melalui Belanjawan 2025. Inisiatif ini termasuk pelepasan cukai pendapatan individu ke atas pinjaman perumahan untuk menggalakkan pemilikan rumah di kalangan pembeli rumah pertama dan menyediakan Skim Step Up Financing di bawah SKJP sebagai jaminan Kerajaan khusus bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama kepada anak muda. Insentif khas kewangan dan infrastruktur di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Zon Kewangan Khas di

Forest City, Johor dan pembangunan infrastruktur yang berterusan akan merancakkan lagi perkembangan pasaran harta tanah bagi tempoh jangka panjang. Untuk mendapatkan Siaran Pasaran Harta dan semua penerbitan lain, sila layari portal rasmi NAPIC di https://napic.jpph.gov.my

Sumber:
Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan.
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
#Prezcom

Berita Berkaitan:
23,149 Rumah Siap Tidak Terjual Bernilai RM13.94 Bilion Bukan Hanya Isu Pemaju

23,149 Rumah Siap Tidak Terjual Bernilai RM13.94 Bilion Bukan Hanya Isu Pemaju