
KUALA LUMPUR, 17 April 2025. Akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh (KWYP) kini disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan kontroversi penerbitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap. Siasatan ini diumumkan selepas tindakan serupa dikenakan terhadap akhbar Sin Chew Daily, yang melakukan kesalahan sama.
Kontroversi bermula apabila KWYP memuat naik hantaran di laman Facebook yang menunjukkan muka depan edisi petang akhbar tersebut pada 15 April 2025 dengan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit, simbol penting yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Menurut kenyataan rasmi, KDN menegaskan bahawa sebarang tindakan yang mempermainkan atau tidak menghormati Jalur Gemilang tidak akan dikompromi. Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, perpaduan, dan identiti nasional yang wajib dihormati semua pihak.
Susulan itu, KWYP kini disiasat di bawah peruntukan perundangan melibatkan media baharu. Pada masa yang sama, MCMC turut mengesahkan bahawa siasatan terhadap KWYP sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Suruhanjaya tersebut memandang serius perkara ini dan telah memanggil pihak KWYP untuk memberi keterangan.
Semakan awal Malaysiakini mendapati imej bulan sabit tersebut sebenarnya wujud dalam ilustrasi asal, namun telah terlindung oleh tajuk berita yang dipaparkan. Hantaran kontroversi itu telah dipadamkan oleh KWYP selepas isu tersebut timbul.
Terdahulu, akhbar Sin Chew Daily turut dikenakan tindakan serupa kerana memaparkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit di muka hadapan edisi cetak. Akhbar itu kini berdepan siasatan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
MCMC turut memberi amaran keras kepada organisasi media serta orang awam agar tidak menyebarkan sebarang kandungan yang boleh menjejaskan imej dan integriti simbol negara. Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini bagi memastikan keharmonian dan profesionalisme dalam media digital sentiasa terpelihara.
Insiden ini menjadi peringatan penting bahawa setiap individu dan organisasi media mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan simbol-simbol kebangsaan dihormati dan dipaparkan dengan tepat. Sebarang kecuaian dalam hal ini bukan sahaja boleh mencetuskan kontroversi, malah berpotensi menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
#Prezcom
Berita Berkaitan
Yang di-Pertuan Agong Tegas: Jalur Gemilang Lambang Kedaulatan, Tidak Boleh Dipersendakan
Yang di-Pertuan Agong Tegas: Jalur Gemilang Lambang Kedaulatan, Tidak Boleh Dipersendakan