
KUALA LUMPUR, 17 April 2025. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan serta identiti nasional yang wajib dihormati dan tidak boleh dipersendakan atau disalahgunakan. Titah baginda merujuk kepada insiden baru-baru ini melibatkan akhbar tempatan berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit pada muka depan akhbar bertarikh 15 April lalu.
Melalui catatan rasmi di laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim menyatakan rasa kesal terhadap insiden ini, menyifatkannya sebagai kecuaian serius yang boleh menyinggung sensitiviti masyarakat majmuk negara ini. “Bendera negara bukan sekadar kain berwarna-warni. Ia membawa makna yang mendalam, mencerminkan perjuangan, sejarah, kemerdekaan serta semangat perpaduan seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda. Baginda turut mengarahkan pihak pengurusan akhbar supaya lebih teliti dalam setiap penerbitan untuk mengelakkan perkara yang sama daripada berulang.
Berikutan kejadian tersebut, Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengambil tindakan dengan memanggil pihak Sin Chew Daily pada hari ini bagi mendapatkan penjelasan dan menyerahkan surat tunjuk sebab. KDN menegaskan bahawa tindakan akhbar tersebut merupakan kesalahan serius di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam kenyataan rasminya, KDN menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian kaum dan mengganggu ketenteraman awam. “Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini demi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara,” tegas kenyataan KDN tersebut.
Mengulas isu ini, pakar bahasa dan perpaduan Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, permohonan maaf semata-mata tidak memadai bagi kesalahan serius ini. Beliau menegaskan bahawa kesilapan sedemikian tidak wajar berlaku, apatah lagi membabitkan akhbar besar dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam penerbitan. Beliau mencadangkan agar pihak bertanggungjawab dikenakan hukuman maksimum di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mengaibkan dengan niat menggugat keamanan) supaya menjadi iktibar kepada pihak lain.
Dr. Teo turut menyatakan kekecewaan terhadap ilustrasi berkenaan, yang turut memaparkan Jalur Gemilang dengan saiz lebih kecil di belakang bendera China, sesuatu yang jelas bertentangan dengan semangat patriotisme dan penghormatan kepada negara sendiri. “Kejadian ini mencerminkan kelemahan dalam pembinaan negara bangsa. Setelah hampir 70 tahun merdeka, sepatutnya rakyat kita tidak lagi keliru mengenai simbol negara dan mesti fasih berbahasa kebangsaan,” ujar beliau lagi.
Insiden ini memberi pengajaran penting kepada semua rakyat Malaysia tentang peri pentingnya penghormatan terhadap simbol negara. Jalur Gemilang, yang mempunyai 14 jalur merah-putih, melambangkan perpaduan negeri dan wilayah persekutuan, manakala bulan sabit menandakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Ia juga merupakan peringatan agar semua pihak, terutamanya institusi media, lebih berhati-hati dalam menyiarkan bahan yang menyentuh sensitiviti awam. Kesedaran ini amat penting untuk mengukuhkan perpaduan, keharmonian, dan rasa hormat terhadap warisan dan simbol kebangsaan yang menjadi identiti negara kita.
Kredit Imej: Istana Negara Malaysia
#Prezcom