Gambar Hiasan: Penduduk Program Perumahan Rakyat Culas Bayar Sewa

Kuala Lumpur, 9 Mar 2025, 12.00 tengahari – SIKAP sesetengah penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PR ) yang tidak mahu membayar tunggakan sewa sebenarnya telah berlarutan sekian lama. Terdapat penghuni yang sengaja tidak mahu membayar sewa dengan niat untuk menduduki perumahan tersebut secara percuma telah lama dikesan dipelbagai lokasi di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ada penghuni yang tinggal secara percuma sehingga tunggakan sewa mencecah RM30,000.

Memang terdapat penghuni PPR yang tidak dapat melunaskan bayaran walaupun hanya RM200 disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan seperti ketua keluarga sakit dan tidak dapat mencari nafkah, kehilangan pekerjaan atau pendapatan bulanan yang kecil dan menanggung ahli keluarga yang ramai. Namun , apa pun alasannya penghuni tidak boleh berdiam diri dengan meneruskan tindakan tidak membayar sewa. Ruang untuk berbincang sentiasa dibuka dengan pihak yang berkuasa untuk menyatakan masalah.

Masalah akan menjadi bertambah besar apabila terdapat penghuni yang culas membayar sewa. Di antaranya adalah penghuni lain juga akan mengikut tidak mahu menjelaskan sewa kerana berpendapat orang lain boleh tinggal sekian lama tanpa membayar, jadi mereka juga mahu melakukan perkara yang sama yang dianggap adil. Ada penghuni yang menyewakan PPR mereka kepada orang lain dengan sewaan yang lebih tinggi tetapi masih tidak menjelaskan tunggakan sewaan yang mencecah ribuan ringgit.

Walaupun telah cuba diberi kesedaran dengan berbagai cara, namun penghuni masih juga culas membayar. Tindakan juga telah diambil termasuk pemotongan bekalan air, tindakan pengusiran dan menyita rumah mereka menerusi undang-undang dan prosiding mahkamah yang sudah berbelas tahun tidak pernah membayar tunggakan. Walaupun penghuni lama telah diusir, tetapi ada juga penghuni baru yang mempunyai sikap yang sama. Disebabkan itu, berbagai perkara tidak dapat diselesaikan.

Apabila sesebuah PPR itu tidak mempunyai sumber kewangan, ia akan menjadi satu kerugian kepada PBT dan kerajaan kerana perlu menanggung kos pembersihan dan penyelenggaraan terutamanya ketika berdepan dengan masalah kerosakkan lif. Untuk memperbaiki lif yang rosak ia akan memakan perbelanjaan yang besar.

Seorang pensyarah Bahagian Harta Tanah, Kolej Alam Bina, UiTM, Nor Adibah Mohd Arif pernah menyarankan agar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) digunakan bagi mengenalpasti profil penyewa perumahan kerajaan itu. PADU adalah pangkalan data yang mengandungi profil penduduk warganegara dan pemastautin tetap yang menetap di Malaysia. Melalui sistem PADU, sekiranya ada penghuni yang tidak dapat membayar sewa akibat daripada masalah kewangan, bantuan akan dapat disalurkan kepada kumpulan itu dengan lebih tepat.

Undang-undang sewaan kediaman yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini, dilihat antara penyelesaian terbaik bagi menangani isu itu.β€˜β€™Ia kerana rang undang-undang ini akan melindungi hak pemilik dan penyewa serta memberi peluang kepada PBT untuk melaksanakan penguatkuasaan ke atas premis berkenaan,’’ katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, akta berkenaan digubal bagi melindungi kepentingan serta hak penyewa dan pemilik kediaman, yang ketika ini hanya dilindungi melalui Akta Kontrak 1950 yang bersifat umum dan tidak komprehensif. Akta Sewaan Kediaman itu dilaporkan bakal memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada penyewa dan pemilik kediaman serta tidak perlu lagi melalui prosedur mahkamah yang panjang dan rumit untuk menyelesaikan pertikaian antara penyewa dan pemilik kediaman.

Sumber oleh Bernama.

#Prezcom

Lebih Banyak Berita: