Ahli Parlimen Jangan Hanya Pandai Berhujah Di Dalam Dewan Sekadar Untuk Mendapat Tempat Di Hati Rakyat.
Ahli Parlimen sekadar berhujah hanya untuk mendapat tempat di hati rakyat.

Kuala Lumpur, 20 Jan 2025, 5.00 petang -SESIAPA yang sering menyaksikan perdebatan ahli-ahli Parlimen di dalam dewan mungkin akan senyum dan ketawa apabila ahli politik yang berada di blok kerajaan mahupun pembangkang berkobar-kobar berhujah bahawa mereka mampu  mendapatkan penyelesaian terbaik untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan menstabilkan ekonomi serta mampu menyatupadukan rakyat tanpa ada sebarang pertelingkahan di antara kaum. Tetapi semuanya hanya cerita sahaja. Sekadar untuk mendapatkan tempat di hati rakyat.

Apa yang jelas dilihat sehingga hari ini adalah rakyat masih lagi terbelit dengan harga barang yang makin naik dan tidak mungkin akan turun. Untuk itu rakyat berpendapat setiap ketua rumah perlu bijak dalam mengatur perbelanjaan terutamanya barangan keperluan serta penjimatan berbagai bil kegunaan harian.

Kerajaan silih berganti dan setiap tahun kerajaan yang memerintah gagal di dalam mencari penyelesaian kenaikan harga barang dan di burukkan lagi dengan kekurangan bekalan beras putih tempatan dan telur. Tidak mustahil barangan keperluan asas yang lain juga akan turut naik. Jadi apa penyelesaiannya??

Sepanjang tahun 2024 dan 2025 dan mungkin juga tahun-tahun seterusnya penarikan subsidi bagi barangan asas dan tenaga akan terus mencetuskan lagi kegusaran rakyat. Ini  secara langsung  mengurangkan kuasa membeli rakyat. Jika begini caranya, bagaimana ekonomi negara akan meningkat??

Apa yang pasti, kenaikan kos sara hidup ini sebenarnya berpunca daripada kegagalan kerajaan yang memerintah menghapuskan penguasaan kartel yang memonopoli pasaran negara yang sudah lama bermaharajalela di Malaysia.

Rakyat tidak mahu dengar dan tidak mahu lihat masalah yang dihadapi oleh kerajaan yang memerintah. Apa yang rakyat mahu dengar adalah satu penyelesaian yang konkrit dimana masalah ini tidak akan berulang lagi. Membanteras apa sahaja kegiatan yang merugikan negara adalah tugas kerajaan.

Jadi, tolong jangan diheret rakyat untuk bersama menanggung kesusahan di atas kegagalan kerajaan membanteras kartel yang dilihat seperti berjaya mengawal kuasa kerajaan di dalam pasaran tempatan.

#Prezcom

Lebih Banyak Berita:

Penafian Oleh JPA Mengenai Penamatan Kontrak Seramai 30,000 Kakitangan Awam Tidak Memiliki Sijil SPM.