
Ledakan emosi yang melulu dan tak terkawal ini dipercayai berpunca daripada teguran dan kemusykilan yang ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat HanifJamaluddin, berhubung kehadiran orang Islam dalam majlis sambutan Krismas anjuran kementerian itu baru-baru ini.
Kuala Lumpur, 29 Dec ,2024, 3.00 petang –PAS memandang serius kenyataan melampau dan penuh emosi Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming baru-baru ini yang antara lainmenuduh PAS sebagai “sesat”, “menyebar ajaran sesat”, “menunggang agama”,”merosakkan keharmonian masyarakat” dan “menyekat sambutan Krismas”.
Ledakan emosi yang melulu dan tak terkawal ini dipercayai berpunca daripada teguran dan kemusykilan yang ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Hanif Jamaluddin, berhubung kehadiran orang Islam dalam majlis sambutan Krismas anjuran kementerian itu baru-baru ini.
Hanif antara lain mempersoalkan sensitiviti kementerian berkait isu itu, sekali gus
mengepilkan garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan 2005 berhubung penglibatan orang Islam dalam acara merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam. Turut dikepilkan ialah penjelasan berhubung hukum orang Islam menyertai acara “Christmas Carolling” daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Hukum Siri ke 818, 24 Disember 2023).
Kedua-dua garis panduan dan penjelasan hukum oleh dua institusi utama Islam ini
menetapkan syarat-syarat ketat ke atas orang Islam berhubung perkara ini kerana ia termasuk dalam perkara-perkara berkaitan aqidah dan kepercayaan Islam. Berdasarkan pertimbangan itu, persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Hanif adalah wajar dan seharusnya ditangani dengan cermat serta telus.
Susulan kenyataan itu, KPKT mengeluarkan respons balas yang sepatutnya menjelaskan
keadaan, namun nampaknya ia menempelak pula kemusykilan yang ditimbulkan.
Sejarah membuktikan sejak selepas kemerdekaan negara, tidak pernah berlaku kementerian-kementerian mahupun agensi-agensi kerajaan menganjurkan program-program perayaan keagamaan selain dari Islam secara terbuka di premis-premis kerajaan, apatah lagi turut melibatkan pegawai dan kakitangan yang beragama Islam.
Justeru itu PAS menggesa KPKT atau mana-mana pihak lain agar lebih peka dan berhati-hati pada masa akan datang dalam isu melibatkan hukum-hakam agama termasuk dalam sambutan perayaan-perayaan.
Hal ini kerana sikap sambil lewa, tidak peduli atau tidak sensitif bukan sahaja boleh membawa kesan buruk ke atas orang Islam, tetapi juga hubungan baik antara kaum dan agama.
Isu ini seharusnya telah terhenti di situ, tetapi malangnya ledakan emosi dan sikap melampau menteri berkaitan dalam kenyataan medianya semalam memburukkan lagi keadaan dan menimbulkan ketegangan serta polemik baharu yang tidak perlu dalam masyarakat.
PAS meletakkan liabiliti sepenuhnya kepada pemimpin DAP yang menjadi menteri ini sekiranya akibat keceluparannya akan mencetuskan ketegangan dan mengulangi sejarah hitam dalam negara yang tidak pun menguntungkan mana-mana pihak.
Di sebalik cakap berdegar-degarnya tentang keharmonian, perpaduan, kesatuan dalam
kepelbagaian, saling-menghormati dan sebagainya, Nga sendiri sebenarnya tanpa segan silu telah melanggar dan mencabar bukan sahaja bidang kuasa pihak berkuasa agama di negara ini, malah secara terang-terangan mencampuri urusan agama Islam.
Dengan menyebut bahawa PAS bukan sahaja “sesat” tetapi “menyebarkan ajaran sesat”, Nga boleh dianggap turut melanggar hak dan sempadan kuasa serta kedudukan Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja sebagai ketua agama Islam.
Mencabar bidang kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak-pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab ke atas penentuan status keagamaan mana-mana orang atau kumpulan orang Islam. Kuasa ini tidak dimiliki oleh orang atau pihak lain lebih-lebih lagi seorang bukan Islam.
Tidak cukup dengan itu, beliau secara terbuka menuduh dan memfitnah bahawa PAS kononnya “menyekat sambutan Krismas”, selain menyifatkan ucapan selamat sempena sambutan Krismas daripada PAS sebagai “hipokrasi tertinggi” tanpa mengemukakansebarang bukti atau hujah bagi menyokong dakwaannya.
Perlu ditegaskan di sini bahawa ucapan selamat sempena sambutan perayaan agama dan budaya masyarakat di negara ini, baik Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, telah menjadi amalan PAS sejak bertahun-tahun sebagai tanda penerimaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya yang menjadi ciri penting masyarakat kita.
Ucapan-ucapan ini juga disiarkan oleh pelbagai media di negara ini tanpa sebarang masalah sebagaimana mereka menyiarkan ucapan pemimpin atau parti lain. Sebagai manusia beradab, sewajarnya kita menyambut baik ucapan baik yang diberikan pada hari-hari yang baik itu dengan sekurang-kurangnya mengucapkan terima kasih sebagai cerminan hati budi kita, bukannya mempersoalkan kejujuran atau niat pihak yang mengucapkannya, apatah lagi memberi gelaran buruk kepada mereka.
Ia bukanlah masa untuk menyuburkan kebencian, menimbulkan permusuhan dan memfitnah seperti yang dilakukan oleh Nga dalam kenyataannya sempena sambutan Krismas tahun ini.
Justeru atas tohmahan dayus dan fitnah jahat yang jelas ini PAS menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap menteri berkenaan.
Terima kasih.
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 29 Disember 2024.