Cara Pemikiran Negatif Boleh Menimbulkan Prasangka Buruk Terhadap Orang Lain.
keharmonian dapat diwujudkan dan dikekalkan jika ahlinya tidak terpengaruh oleh cara pemikiran yang negatif seperti mempunyai prasangka buruk.

Kuala Lumpur, 17 Dec 2024, 12.00 tengahari – DALAM kepelbagaian masyarakat, bangsa, budaya dan agama di negara ini, keharmonian dapat diwujudkan dan dikekalkan jika ahlinya tidak terpengaruh oleh cara pemikiran yang negatif seperti mempunyai prasangka buruk, berlaku tidak adil dan zalim terhadap orang lain yang kemudiannya membawa kepada hilang rasa hormat dan sikap bertolak ansur. Hakikatnya, kepelbagaian kelompok manusia yang dicipta merupakan antara tanda kebesaran dan kekuasaan-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran. Jika kita memahami aspek ini dengan baik, maka kita akan memainkan peranan yang diperlukan bagi mewujudkan kehidupan masyarakat dan negara yang aman dan harmoni.

Walaubagaimanapun, keharmonian dan keamanan bagi sebuah masyarakat atau negara bukanlah satu keadaan yang sudah tersedia atau mudah untuk dicapai terutama di dalam negara yang mempunyai berbagai agama dan bangsa. Keharmonian akan menjadi begitu sulit apabila wujud perasaan curiga, atau prasangka yang buruk dan membinasakan, tidak kira sama ada curiga adalah terhadap mukmin yang lain atau juga antara manusia dari kaum dan agama lain. Hal ini juga terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Bagi menghormati hidup bermasyarakat, hindarilah prasangka buruk yang akan menjejaskan tahap kepercayaan serta keharmonian dalam perhubungan sosial antara kelompok yang berbeza, sama ada kelompok ini disebabkan perbezaan dalam pandangan politik, jurang ekonomi atau latar belakang sosial kerana sikap prasangka akan melebarkan jurang yang sedia ada. Sebagai contoh, penyebaran maklumat yang menimbulkan kebencian melampau, mengaibkan dan berasaskan fitnah serta buruk sangka akan menjadikan pemikiran masyarakat semakin lesu dan bercelaru.  Media sosial yang menjadi kaedah komunikasi dan penyebaran maklumat utama pada zaman moden ini disalah guna bagi tujuan untuk menyebarkan berita palsu dan fitnah sehingga menambah kepada rasa curiga, sangka buruk dan kebencian dalam masyarakat.

Sewajarnya, usaha-usaha bagi mewujudkan serta mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara secara keseluruhan perlu menjadi matlamat utama bagi mana-mana pemimpin yang betul-betul ikhlas dan faham akan tanggungjawab sebenar mereka sebagai pemimpin. Pemimpin yang mempunyai kesedaran ini akan melakukan yang terbaik bagi memastikan rakyat dan negara mendapat kebaikan melalui tindakan-tindakan mereka dalam memimpin. Antaranya adalah dengan memastikan agenda keharmonian bagi negara ini menjadi lestari dan bersifat jangka panjang. Kemakmuran negara dan masyarakat amat bergantung kepada keadaan yang harmoni sebegini dalam keadaan di mana rakyat hidup dengan aman damai, saling mempercayai dan hormat menghormati yang lahir atas dasar rasa cinta yang amat tinggi terhadap negara.

#Prezcom

Lebih Banyak Berita: