Kuala Lumpur, 8 Dec 2024, 11.00 malam – Segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, usaha kita dalam memastikan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2024 diluluskan di Parlimen telah membuahkan hasil.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus memastikan kejayaan ini. Kepada YB Dr. Zulkifli Timbalan Menteri Agama, PUU, MAIWP, JKSM, MSWP, JAWI, JAPENSWP, seluruh pasukan teknikal, dan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Usaha anda semua adalah bukti nyata komitmen kita bersama dalam memperjuangkan nilai-nilai yang sejalan dengan prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat serta menterjemahkan Pelan Transformasi Al-Falah dalam pentadbiran hal ehwal Islam.
Kejayaan ini bukan hanya satu pencapaian untuk kita di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tetapi ia adalah amanah besar yang kita pikul bersama demi manfaat umat dan negara. Ia menjadi tanda bahawa dengan kerjasama dan kesungguhan, kita mampu menghadapi apa jua cabaran serta memberikan yang terbaik kepada masyarakat.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi di bawah saya yang sentiasa memberi sokongan dan doa kepada usaha ini. Semoga Allah SWT terus memberkati perjuangan kita dan memberikan kita kekuatan untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah dan keikhlasan.
Sekali lagi, terima kasih atas segala usaha dan pengorbanan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kita melangkah lebih jauh dalam usaha memperkukuh syariat dan keadilan dalam Membangun Malaysia Madani.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
#Prezcom