SPRM Masih Jalankan Siasatan Mencari Aset Dan Kewangan Allahyarham Tun Daim.
Kenyataan Media ini bertujuan untuk memperjelaskan dan membetulkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas serta mengelirukan di media dan media sosial berkaitan isu ini.

Kuala Lumpur, 22 Nov 2024, 12.00 tengahari – SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memberikan penjelasan berkenaan kes yang melibatkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Che Abdul Daim Zainuddin, atau lebih dikenali sebagai Tun Daim Zainuddin. Perkara ini perlu diberi penerangan bagi membetulkan berbagai dakwaan yang mengelirukan serta tidak berasas yang tersebar terutamanya di media sosial. Untuk pengetahuan semua, SPRM  masih lagi menjalankan siasatan untuk mencari aset serta kewangan Tun Daim dan keluarga bagi melengkap siasatan.

Pada Februari 2023, SPRM telah membuka beberapa Kertas Siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Pandora Papers. Siasatan keatas maklumat dalam Pandora Papers ini telah membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu, di mana Allahyarham Tun Daim Zainuddin memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Media SPRM bertarikh30 Disember 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah dikeluarkan kepada Allahyarham Tun Daim pada 7 Jun 2023. Notis ini mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Allahyarham Tun Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali, dan SPRM memberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023, 11 Oktober 2023, dan terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset tersebut.

Pada 29 Januari 2024, Allahyarham Tun Daim telah didakwa dibawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir iaitu 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.

Setelah Allahyarham Tun Daim meninggal dunia, pada 20November 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan Allahyarham Tun Daim daripada pertuduhan gagal mematuhi notis tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Walau bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes ini masih diteruskan.

Siasatan ini turut melibatkan isteri Allahyarham Tun Daim,Toh Puan Na’imah Abdul Kadir, serta ahli-ahli keluarga beliau, yang mana siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara. Penyelidikan jejak kewangan (money trail) di luar negara sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa.

SPRM menyeru masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kes ini dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
22 NOVEMBER 2024

#Prezcom

Lebih Banyak Berita:

Di Dalam Ketegangan Politik, Ada Juga Kelucuan Apabila Bersidang Di Parlimen.