SPRM Serbu Kegiatan Memunggah Bauksit Di Syaki Dilindungi Oleh Pegawai Agensi Kerajaan.
SPRM menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, Pahang.

Kuala Lumpur, 15 Nov 2024, 9.00 malam – SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, Pahang yang disyaki turut dilindungi oleh pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.

Dalam serbuan dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh semalam, SPRM telah menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam operasi itu SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sementara itu katanya, di dalam serbuan seterusnya, SPRM telah membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.

Di lokasi itu, lima jentera iaitu empat unit jengkaut, sebuah shovel loader dan tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan sitaan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.

#SPRMMalaysia
#RasuahDihinaMaruahDibina
#taatsetia

#Prezcom