Kuala Lumpur, 10 Okt 2024, 5.00 petang – KENAIKAN kos sara hidup terus menerus meningkat setiap tahun walaupun terdapat banyak rungutan dan rintihan daripada rakyat tentang kenaikan harga barangan pengguna. Bagi orang ramai, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar dan keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang individu yang akan memberi kesan kepada kuasa beli mereka dan juga kualiti hidup secara keseluruhan.
Semakin meningkat kos sara hidup semakin kurang kuasa beli pengguna. Itulah situasi yang terdapat didalam negara kita ketika ini. Kesan kenaikan harga barang merupakan antara topik hangat yang sering dibincangkan sejak kebelakangan ini tambahan pula pembentangan bajet oleh Kementerian Kewangan akan dibacakan tidak lama lagi dan ini akan menimbulkan berbagai-bagai permintaan kepada kerajaan. Sudah tentu permintaan untuk menurunkan harga barang akan menjadi bahan paling diinginkan oleh rakyat selain dari penyelerasan kenaikan gaji untuk kakitangan swasta.
Terdapat berbagai implikasi yang akan berlaku kepada rakyat disebabkan kos sara hidup yang kian meningkat ini. Diantaranya adalah kesan psikologi terhadap mereka yang tiada pendapatan tetap dan yang berpendapatan kecil serta kepada mereka yang menghadapi bebanan hutang yang tinggi. Ketidakmampuan untuk menyara diri dan keluarga akan mendorong kepada tekanan emosi yang akan mengundang berbagai gejala terhadap kesihatan seperti sukar untuk tidur, hilang selera makan, sakit kepala, bimbang, mudah marah dan sebagainya.
Dari segi sosial pula, kenaikan kos sara hidup dan kenaikan kos harga barang akan menyebabkan ketua keluarga atau individu yang mempunya komitmen terhadap berbagai perkara akan sentiasa merasa tidak mencukupi. Berbagai keputusan terpaksa dibuat seperti membuat kerja sampingan sama ada berniaga secara kecil-kecilan atau mencari kerja separuh masa bagi menampung ketidakcukupan didalam kehidupan.
Kesan sosial lain yang akan dihadapi oleh individu atau ketua keluarga adalah, tiada masa bekualiti untuk bersama keluarga terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan yang buruk terhadap institusi kekeluargaan. Perkara ini boleh mendorong kepada masalah sosial seperti penceraian, pergaduhan, penderaan dan juga gejala sosial dalam kalangan remaja di Malaysia seperti mana yang berlaku sekarang.
Akibat lain yang berlaku disebabkan peningkatan kos sara hidup adalah kegiatan jenayah kecil mahupun besar makin kerap berlaku disebabkan terpaksa meneruskan kehidupan dengan ketidakcukupan dan didalam berbagai kekurangan telah membuat seseorang individu itu melakukan jenayah seperti mencuri, rompakan, penculikan dan tidak terkecuali pengambilan rasuah. Peningkatan jenayah juga dilihat semakin ketara sejak kebelakangan ini dan setiap tahun juga telah mencatatkan peratus yang tinggi dan amat membimbangkan.
Faktor utama yang menyebabkan jenayah berat ini terus berleluasa disebabkan oleh kesempitan wang untuk berbelanja dan untuk mendapatkan kemewahan segera selari dengan peningkatan harga barangan, perkhidmatan serta keperluan asas yang begitu drastik. Kos pembelajaran terhadap anak-anak juga dilihat semakin meningkat serta kos kesihatan yang juga turut mengalami kenaikan sedangkan gaji bagi rakyat yang berkerja bagi sektor swasta tidak langsung dapat menjamin kehidupan buat masa kini.
#Prezcom
Lebih Banyak Berita:
BENGKEL KHAS MAJIKAN : Peranan Majikan Berkaitan Zakat Dan Cukai.