
Kuala Lumpur, 01 Okt 2024, 6.00 petang – KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki telah berkongsi kejayaan SPRM dalam membanteras dan memerangi rasuah di negara ini dalam sesi temubual program MHI sempena sambutan Ulang Tahun SPRM ke-57 yang bersiaran secara langsung di Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini, semalam.,
Menurut Dato’Sri Azam Baki, sebelum ini SPRM dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah {BPR) yang ditubuhkan pada tahun 1967 dan kini telah ditukar sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwujudkan pada 1 Januari 2009 mengikut akta yang baru digubal iaitu Akta SPRM 2009.
Sejak ditubuhkan sehingga kini, pencapaian badan ini tetap berterusan dan kekal relevan serta banyak kejayaan yang diperolehi didalam menjalankan tugasan seperti yang diarahkan,
Menurut beliau lagi, didalam apa jua aktiviti, aspek untuk fokus didalam menjalankan siasatan telah memberi impak yang baik sama ada didalam penyiasatan, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat telah banyak berubah.
Tiga sektor utama yang menjadi fokus didalam setiap operasi adalah, Perolehan Awam, Penguatkuasaan Undang-Undang serta Grand Corruption (rasuah berskala besar yang berprofil tinggi dan berkepentingan awam).
Beliau turut menyifatkan strategi yang diguna pakai dalam ketiga-tiga sektor tersebut iaitu mengurangi ketirisan adalah sukar. Ini adalah kerana SPRM perlu memantau, mengesan dan mencegah jenayah yang telah dirancang.
Tegas beliau lagi, semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam memerangi rasuah supaya ia sekurang-kurangnya berkurangan atau terus terhapus dan seterusnya bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun ini.
Diakhir perbualan, beliau menaruh harapan yang tinggi kepada semua warga SPRM untuk berazam dan teruskan perjuangan dalam memerangi rasuah serta menjadi contoh kepada semua orang ramai.
Tan Sri Azam menyifatkan, tugas memerangi rasuah adalah satu tugas mulia yang diamanahkan serta dipertanggungjawabkan oleh negara dan masyarakat kepada kita,” katanya.
Terdahulu, ketibaan Ketua Pesuruhjaya SPRM disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios, Nini Yusof serta Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Media Prima Berhad, Kamaruddin Mape.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, BKS SPRM, Badrila Jamlus.