
Kuala Lumpur, 29 Sept 2024, 12.00 malam – KEKALAHAN besar calon Bersatu dalam dua PRK iaitu di Nenggiri dan Mahkota, merupakan isyarat oleh majoriti rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan kelompok Melayu, Muslim dan Bumiputera di negara ini, menolak politik 2R (kaum dan agama) yang dimainkan Perikatan Nasional (PN).
Ada yang mengatakan, Sejak Bersatu berkerjasama dengan PAS, mereka dianggap menjadi peluru dan senjata untuk menghentam parti lama mereka. Mereka juga turut dianggap sebagai parti yang terdesak dengan menerima bekas-bekas Ahli Parlimen yang keluar dari Umno dan PKR untuk melepaskan marah dan dendam mereka di media sosial termasuk didalam ceramah.
Parti Bersatu ini dikatakan juga sebagai kelompok ekstrem yang menabur pelbagai fitnah, syak wasangka, paranoid dan provokasi sentimen 2R untuk mewujudkan situasi emosional kelompok Melayu-Islam. Adakah mereka ini beranggapan seolah-olah negara ini sentiasa huru-hara dan tiada Ketua Agama Islam? dan tiada kerajaan yang menjaga hak setiap rakyat mengikut Perlembagaan Persekutuan?
Watak – watak yang dikatakan sebagai mengwujudkan provokasi sudah kebuntuan idea apabila melihat ekonomi negara makin mantap di bawah Kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Mereka dikatakan tidak dapat menerima hakikat bahawa Anwar telah pun diampunkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu.
Anwar telah pun mendapat keampunan dari Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan menjadi perdana menteri apabila Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong seterusnya, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas PRU15.
Bersatu di awal penubuhannya telah diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad sering kali melawat Anwar ketika dia masih bergelar banduan demi mendapatkan sokongan PH, terutamanya PKR, untuk menentang kleptokrat. Pada waktu itu Anwar bagaikan “banduan terhormat”.
Kini, reputasi Bersatu dikatakan telah rosak apabila berkerjasama dengan PAS yang dikatakan mempunyai mentaliti jumud dan ekstrem. PAS juga dikatakan parti yang menunggang agama dengan melaungkan slogan “Islam terancam di Malaysia” dan parti yang menjadi musuh kepada mereka akan dianggap “kafir harbi” atau munafik.
Bersatu kini sudah tenggelam dipengaruhi cara berpolitik PAS yang hanya laku di kawasan-kawasan Melayu ultra konservatif sahaja.
DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN membuat seruan kepada para pengasas, akar umbi dan pejuang tulen untuk berhijrah kepada PKR-PH bagi meneruskan agenda Reformasi, pembaharuan, dan kemajuan. Berhenti bermain dengan sentimen kaum dan agama yang memecah-belahkan masyarakat majmuk negara ini yang rata-ratanya berhaluan sederhana.
DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN ialah bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan kini menganggotai PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Kredit – MalaysiaKini
#Prezcom
Lebih Banyak Berita: