Isu Tanah Jalan Duta Akan Beri Implikasi Serius Pada Negara
Isu tanah Jalan Duta agak merunsingkan kerana tanah itu sebelum ini diambil untuk kegunaan awam dan badan kerajaan.

 

Kuala Lumpur, 10 Ogos 2024, 9.00 malam – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tanah Jalan Duta agak merunsingkan kerana tanah itu sebelum ini diambil untuk kegunaan awam dan badan kerajaan. Kerajaan akan meneliti semula undang-undang berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Mukim Batu di sini kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).

Mahkamah Tinggi pada Rabu membenarkan permohonan pelikuidasi syarikat SESB untuk mendapatkan semula tanah di Jalan Tuanku Abdul Halim (sebelum ini dikenali Jalan Duta). Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu antaranya menempatkan Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Menurut Datuk Seri Anwar, walaupun kerajaan patuh dengan keputusan penghakiman yang telah dibuat, tetapi ia memberi implikasi yang sangat serius kepada negara. Menurut beliau lagi, Hakim mungkin tertakluk kepada undang-undang yang ada. Saya akan cadangkan kepada Jemaah Menteri untuk melihat semula undang-undang ini. Kalau semua guna kaedah prinsip yang ada sekarang (seperti) yang diputuskan mahkamah akan huru-hara negara. Itu sebab kita harus teliti semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan semalam.

Tambah Datuk Seri Anwar lagi, kalau prinsip ini digunakan, bagaimana tentang tanah-tanah rakyat yang dulu diambil sejak atau sebelum merdeka untuk tujuan kerajaan, kemudian diambil alih oleh sektor swasta atau sektor swasta yang beli tanah pertanian, kemudian minggu berikut tukar kepada tanah industri. Orang yang jual harga sangat rendah dan (pembeli) dapat sangat tinggi.

Mengulas berkenaan Tesla, Perdana Menteri menjelaskan, syarikat tersebut membatalkan rancangan mengembangkan operasi pengeluaran di rantau ini kerana gagal bersaing dengan kenderaan elektrik (EV) dikeluarkan syarikat dari China. Tengku Zafrul telah mendapat maklumat terkini… kerana mereka mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dgn EV dari China. Jadi operasi mereka di Thailand besar, kita baru nak mula. Itu penerangan langsung daripada Tesla,” katanya.

#Prezcom

Lebih Banyak Berita :

Kesan Pembulian Di Media Sosial Terhadap Para Atlet Negara.