Kuala Lumpur, 07 OGOS 2024, 12:00 tengahari – Tidak kira dari golongan mana pun setiap individu yang ternama seperti penghibur, ahli politik, pempengaruh media sosial, golongan cendikiawan dan berbagai lapisan masyarakat yang berjaya mencipta nama didalam berbagai bidang tidak akan terlepas dari diikuti oleh orang ramai dengan pandangan dan kritikan samada ianya kritikan yang membina atau pun mencemuh. Inilah yang dikatakan sebagai ‘tekanan’ yang sentiasa dihadapi oleh golongan ternama ini. Dalam erti kata lain ia merupakan satu kesan pembulian yang amat menyakitkan.
Antara golongan terhebat yang sering mengalami tekanan dari orang ramai adalah ahli sukan iaitu para atlet negara kerana dibahu mereka terletaknya harapan negara dan rakyat untuk mencapai kemenangan didalam bidang sukan terutama di peringkat antarabangsa.
Bak kata pepatah melayu, “Bila menang dijulang dan dipuji. Bila tewas dipijak sehingga tersungkur.” Ada yang menghina golongan atlet ini apabila mereka mengalami kekalahan sehingga sanggup menjatuhkan maruah atlet tersebut terutama dimedia sosial.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran Facebook menamakan beberapa atlet yang pernah melalui tekanan sedemikian seperti Lee Zii Jia (badminton), Muhammad Azeem Fahmi (pelari pecut negara), Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri (ratu terjun negara), Farah Ann Abdul Hadi (bekas ratu gimnastik negara), Datuk Azizulhasni Awang (pelumba basikal negara) serta Safawi Rasid (pemain bola sepak). Ia merupakan satu tekanan yang melampau yang mampu membuat para atlet ini berkemungkinan berada didalam situasi kemurungan.
Menurut PHM, atlet negara biasanya berada di bawah tekanan yang besar untuk memberi yang terbaik dan cuba untuk memcapai kecemerlangan terutama yang melibatkan kejohanan yang besar seperti sukan Olimpik dan sukan Asia serta beberapa peringkat sukan antarabangsa yang lain.
Tidak dinafikan penyokong dan peminat akan mengalami kekecewaan apabila pasukan atau atlet kegemaran mereka kalah atau berprestasi buruk. Untuk meluahkan rasa tidak puas hati peminat biasanya akan memilih media sosial untuk melepaskan kemarahan dengan komen dan hantaran yang jelik dan menyedihkan apabila dibaca.
Atlet negara merupakan aset yang begitu bernilai dan amat berharga sekali. Perasaan para atlet ini perlu dijaga dan mereka perlu sentiasa diberi sokongan padu oleh keluarga dan penyokong. Berilah ucapan terima kasih kepada mereka tidak kira samada mereka mengalami kekalahan atau kemenangan. Mereka tentunya sudah memberikan persembahan yang terbaik dan membuat sebaik mungkin untuk negara.
Sememangnya terdapat undang-undang untuk menangani pembulian siber di negara kita. Namun terdapat juga berbagai cabaran lain yang perlu ditangani dan perlu diberi perhatian demi untuk menjaga prestasi dan perasaan para atlet ini agar mereka dapat terus memberi kecemerlangan dan mengharumkan nama Malaysia dimata dunia.
Sehubungan itu, PHM menegur orang ramai diatas perbuatan mereka mengkritik secara keterlaluan terutama dimedia sosial terhadap atlet negara sehingga menjejaskan prestasi dan emosi serta kehidupan mereka.
Kredit – KOSMO
#PrezCom