
Kuala Lumpur, 09 Ogos 2024, 7.00 malam – BARU-BARU ini negara digemparkan dengan piket yang dilancarkan oleh Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (Nube). Piket yang dilancarkan oleh Nube itu telah mendapat sokongan dari Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) dan melahirkan rasa terkejut apabila dikhabarkan bahawa gaji yang diterima oleh CEO atau Ketua Pengarah Eksekutif Bank mencecah jutaan ringgit setahun.
Sejak dua minggu lalu, Nube telah melancarkan piket bagi menuntut hak yang dinafikan oleh CEO-CEO Bank iaitu hak kebajikan, keseimbangan kerja dan kehidupan, keselamatan pekerjaan serta kebebasan daripada buli, diskriminasi, gangguan serta gangguan seksual. Nube mendakwa terdapat jurang gaji yang begitu besar seumpama kasta yang membezakan antara golongan B40 dan CEO. Seperti pepatah Melayu mengatakan ” bagaikan langit dan bumi “.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin menegaskan tindakan Nube merupakan satu penegasan yang teguh dan berani bagi mengembalikan hak mereka untuk kebajikan dan faedah yang adil bagi pekerja. Golongan kayangan atau kasta yang lebih tinggi akan menekan pekerja bawahan sehingga mewujudkan kegelisahan, ketidakpuasan hati dan kekecewaan pekerja B40,” kata Kamarul dalam kenyataannya.
Pada 21 Julai, Nube mengumumkan akan melancarkan piket di seluruh negara untuk membantah tindakan CEO-CEO bank yang “semakin keterlaluan” dalam memusnahkan kesatuan itu. Golongan kayangan seperti CEO ini tidak boleh dibiarkan menindas pekerja B40. Sebagai pegawai atasan sepatutnya mereka perlu mempunyai ihsan kepada pekerja bawahan yang mengharapkan sedikit faedah pekerjaan berbanding faedah CEO.
Kamarul turut menggesa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memainkan peranan dengan mendesak pengurusan bank mengadakan dialog sosial bersama Nube. “Kerajaan atau Kesuma wajar memberi tekanan ke atas bank sehingga dialog sosial dapat dicapai. Hayatilah konsep Madani yang diterapkan oleh PMX bagi kesejahteraan kaum pekerja,” tambahnya.
Seterusnya Kamarul turut menggesa supaya kerajaan menyiasat dan membuat audit terhadap syarikat GLC dan GLIC yang mengajikan ratusan ribu ringgit kepada CEO sehingga terjadi jurang gaji yang terlalu besar melebihi 100 kali ganda daripada pekerja bawahan. Persoalannya apakah kelebihan yang maha dahsyat yang dimiliki oleh golongan CEO ini sehingga mereka dibayar begitu tinggi oleh syarikat-syarikat separuh kerajaan itu.
#Prezcom
Lebih Banyak Berita :
MCMC Adakan Rundingan Awam, Bangun Garis Panduan Penyedia Perkhidmatan Internet, Media Sosial